KETERUJAAN dirasakan apabila Penang FC mendapatkan khidmat pemain sayap, Kogileswaran Raj pada jendela perpindahan kedua Liga Super musim lalu.
Dia yang pernah mewakili negara, termasuk ketika saingan Piala AFF 2020 mencipta fenomena setelah menjadi pemain tempatan pertama menyertai kelab Korea Selatan, Cheongbuk Cheongju.
Namun, harapan besar diletakkan penyokong Harimau Kumbang tidak terbalas apabila penyerang sayap terbabit bergelut sepanjang beberapa bulan di Utara tanah air.
Berdasarkan statistik musim lalu, Kogileswaran hanya diturunkan sebanyak 12 kali dalam kesemua kejohanan tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan direkodkan.
BACA LAGI: Misteri klu bendera Brazil terjawab, Penang bawa masuk Rodrigo Dias kuatkan serangan
Kogi hanya merekodkan satu penampilan bersama Cheongbuk Cheongju. — Agensi
Pulangan mengecewakan itu menyaksikan masa depannya bersama pasukan berkenaan kian samar setelah tiada tawaran dibuat pihak pengurusan untuk melanjutkan kariernya.
"Ia adalah satu tempoh yang sukar buat saya ketika ini kerana masih belum menerima sebarang tawaran. Saya harap akan ada pasukan dapat menawarkan kontrak kepada saya tidak lama lagi.
"Saya juga masih belum mendapat sebarang panggilan daripada Penang FC untuk membincangkan masa depan saya dengan kelab ini," katanya.
Skuad Harimau Kumbang sudah memulakan sesi latihan pramusim sejak Februari lalu dengan kesemua wajah baharu sudah melaporkan diri.
BACA LAGI: Sekali lagi kena loan Selangor lepas NSFC, Penang memang kelab idaman Sikh Izhan
Kogi berharap diberikan peluang mewakili negara selepas ini. — Facebook/FAM
Persiapan awal dibuat pasukan tersebut dalam misi kembali bangkit dalam saingan Liga Super 2024/25 setelah hanya berada di tangga ke-10 musim lalu.
Tambah Kogi lagi, dia mahu segera kembali berada di landasan terbaik dalam kariernya, sekali gus menghidupkan semula peluangnya dipanggil mewakili negara.
"Cita-cita saya adalah untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan. Selain itu, saya juga mahu menjaringkan sebanyak mana gol yang mampu dan membantu pasukan memenangi sebanyak masa perlawanan.
"Karier saya boleh dikatakan cukup baik, tetapi masih ada tempoh sukar yang saya perlu tempuhi dengan ia hanya membuatkan saya lebih kuat. Saya masih bekerja keras kerana rasa cinta saya terhadap bola sepak," katanya.
Kogi menghabiskan tempoh enam bulan bersama Cheongbuk Cheongju yang kini beraksi dalam divisyen kedua Korea Selatan dengan hanya satu penampilan direkodkannya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram