SEBELUM ini, nasib Kedah Darul Aman (KDA) FC hangat dibincangkan apabila sebahagian pihak berasakan kelab Utara tanah air tersebut tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan.
Hal itu berikutan kegagalan pihak pengurusan menyelesaikan isu tunggakan gaji dialami tahun lalu sehingga mendesak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masuk campur akan perkara berkenaan.
Namun, ketika ini, penyokong Hijau Kuning seakan-akan mampu menarik nafas lega apabila laporan mengatakan kelab Utara tanah air tersebut sudah melunaskan bayaran kepada pemain dan staf pasukan.
Ia dibuktikan dengan kehadiran empat wajah baharu pada Selasa dengan dua daripada mereka, iaitu Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad merupakan pemain berprofil tinggi.
Kejayaan menyelesaikan isu berkenaan membolehkan mereka terus beraksi dalam Liga Super, sekali gus menyangkal spekulasi kelab itu bakal beraksi dalam Liga M3 selepas ini.
BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak
Syafiq Ahmad pulang ke pangkuan skuad Sang Kenari secara pinjaman dari JDT. — Facebook/KDA FC
Selain itu, dalam satu ciapan Onefootball.my baru-baru ini, status KDA FC dalam Liga Super musim depan semakin cerah setelah menerima bantuan kewangan.
"Kedah tidak jadi ke M3. Dikatakan mendapat suntikan dana untuk terus bersaing dalam Liga Super. Berkemungkinan hanya empat pemain import untuk musim ini dan selebihnya anak jati negeri kedah bermain.
"Farhan Roslan dijangka kembali. Harap isu kewangan tidak berulang," tulis pengguna laman X tersebut.
Ketika ini, Farhan yang pernah beraksi buat skuad Sang Kenari buat beberapa tahun kerap memanaskan bangku simpanan di Sabah FC meskipun baru berusia 27 tahun.
BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli
Farhan pernah diangkat sebagai prospek terhangat skuad Sang Kenari satu ketika dahulu. — Facebook/Kedah FA
Jadi, sekiranya KDA FC mampu menyambar khidmatnya, ia akan memberi kelebihan dari segi serangan memandangkan Farhan dikenali dengan kelincahan ketika menggelecek bola.
Selain Rizal dan Syafiq, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu turut disahkan menyambar khidmat Zamri Pin Ramli dari Negeri Sembilan FC dan Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur (KL) City.
Skuad Sang Kenari turut melepaskan hampir keseluruhan pemain import awal minggu lalu dengan hanya perancang import dari Filipina, Manuel Ott dikekalkan.
Namun, mereka dilaporkan bakal membawa masuk dua bekas tonggak Terengganu FC, Sony Norde dan Habib Haroon yang beraksi cemerlang sepanjang 2023.
Jika Sony dan Habib sah menyertai KDA FC selain Ott dikekal, hanya seorang lagi pemain import bakal diburu Sang Kenari pada jendela perpindahan kali ini, besar kemungkinan di bahagian serangan rentetan ia posisi yang cukup kronik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram