MASALAH dalaman yang mengganggu Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi salah satu faktor para pemain utama mereka termasuk Manuel Hidalgo memilih berhijrah ke kelab lain pada musim 2024/2025.
Penyerang sayap kelahiran Argentina itu secara rasminya sudah menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim ini dan ia merupakan kelab ketiganya sepanjang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak 2021.
Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak akan bersama skuad utama JDT pada musim 2024/25 apabila pihak pengurusan Harimau Selatan membuat keputusan untuk meminjamkannya ke Sri Pahang.
Perpindahan sementara ke Pahang diibaratkan pulang ke kampung halaman buat Hidalgo apabila negeri di Pantai Timur tanah air itu merupakan 'rumah' pertamanya sejak melebarkan kariernya di Malaysia.
Sebelum berhijrah ke kem Kedah, Hidalgo beraksi selama dua musim bersama skuad Tok Gajah dan merupakan antara pemain import terbaik Pahang apabila membantu meledak sembilan gol serta membuat 14 hantaran bantuan sejak musim 2021 hingga 2022.
Tangkap layar Insta Story dari Hidalgo.
Perpindahan Hidalgo semula ke Sri Pahang itu juga sepertinya turut ditunggu-tunggu oleh pemain berkenaan apabila dia difahamkan sudah dalam perjalanan pulang ke Malaysia bagi menyertai sesi pra musim Tok Gajah.
Menerusi hantaran Insta Story peribadinya pada Selasa, Hidalgo memuat naik foto berada di kapal terbang bersama teman wanitanya, Nayla Merlina sambil menulis kapsyen 'kembali bekerja. Yang terbaik pasti akan datang'.
Kapsyen Hidalgo itu ditafsir seolah-olah dia menyampaikan mesej kepada penyokong bahawa dia gembira dapat peluang sekali lagi untuk beraksi bersama Sri Pahang pada musim baharu ini walaupun sebagai pemain pinjaman.
Kehadiran Hidalgo memperkukuhkan lagi bahagian serangan Sri Pahang apabila sebelum ini sudah berhasil menandatangani khidmat penyerang Ukraine, Mykola Ahapov selaku penyerang import baharu pasukan Tok Gajah.
Malah, stok penyerang sayap pasukan kendalian Fandi Ahmad juga bertambah apabila kini mereka sudah memiliki Sean Selvaraj, Baqiuddin Shamsuddin dan pemain muda dari Kuala Lumpur (KL) City FC, T. Saravanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram