BEBERAPA tahun kebelakangan ini, reputasi Perak FC sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam negara kian tercalar setelah mereka berdepan isu-isu di dalam dan di luar padang.
Prestasi tidak menentu, masalah kewangan serta sikap culas pihak pengurusan adalah antara hal yang dialami pasukan Utara tanah air itu sehingga mereka tidak lagi digeruni seperti satu ketika dahulu.
Namun, masih terdapat beberapa kenangan sukar dilupakan penyokong The Bos Gaurus (TBG) dalam bola sepak era moden, terutamanya ketika mereka menjuarai Piala Malaysia 2018 setelah menumpaskan Terengganu.
Kebangkitan dipamerkan dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor menyaksikan Perak FC menjuarai Piala Malaysia buat kali kelapan dengan kejayaan itu diraikan puluhan ribu penyokong.
Penghargaan tidak henti-henti diberikan terhadap pemain yang diturunkan apabila mereka memberikan persembahan terbaik sepanjang 120 minit permainan demi menaikkan imej pasukan.
BACA LAGI: Bukan sekali, tapi khidmat anak jati Taiping didambakan skuad TBG sebanyak 4 kali
Pemain Perak FC meraikan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2018.
Bagaimanapun, kejayaan itu pasti sukar diraih tanpa sentuhan ketua jurulatih, Mehmet Durakovic yang menunjukkan sikap kepimpinan di kawasan teknikal.
Selain dapat mengawal mentaliti anak-anak buahnya, percaturan pengendali kelahiran Australia itu juga membawa perubahan besar dalam memastikan kemenangan dimiliki skuad TBG.
Tetapi, perjalanannya ke tahap berkenaan bukanlah mudah kerana dia juga pernah bergelut dalam tahun pertamanya bersama Perak FC, iaitu setahun sebelum membantu pasukan tersebut menjuarai Piala Malaysia 2018.
Meskipun pernah mencuri nama dengan kejayaan membawa Selangor FC menjuarai Piala Malaysia 2015, perubahan dari segi latar belakang serta struktur menyaksikan pengendali itu perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
Dia yang tiba bagi menggantikan jurulatih legenda, Karl-Heinz Weigang pada Februari 2017 tidak dapat menerapkan ideologinya dalam kelab itu sehingga mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima.
BACA LAGI: Ramadhan sahaja tak cukup, skuad TBG mahu sambar 'keeper' dari JDT, skuad Jang
Durakovic berjaya menempa legasinya bersama skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Masalah turut disaksikan dalam Piala Malaysia dan Piala FA dengan skuad TBG tersingkir di peringkat awal yang membuatkan rata-rata penyokong sangsi akan kebolehannya.
Namun, ia tidak melunturkan kepercayaan pihak pengurusan terhadap Durakovic apabila dia diberikan tempoh semusim lagi untuk bersama Perak FC dengan peluang berkenaan diambilnya sebaik mungkin.
Hal itu terbukti setelah pengendali tersebut membawa pasukan terbabit muncul naib juara Liga Super 2018 dengan kejayaan berkenaan membuatkan pengikut setia kelab tertarik dengannya.
Tidak cukup dengan itu, sentuhan Durakovic sekali lagi dibuktikan apabila kelab berkenaan menjuarai Piala Malaysia, sekali gus membuatkan reputasinya kian megah bersama Perak FC.
Kejayaan berkenaan menyaksikan jurulatih yang kini berusia 58 tahun itu dikekalkan untuk dua musim, namun masalah dalaman menyaksikan mereka goyah tahun demi tahun.
Meskipun sudah hampir empat tahun berpisah, nama Durakovic kian harum dalam kalangan penyokong skuad TBG yang terus mengangkatnya sebagai salah seorang pengendali terbaik mereka dalam sejarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram