SEKIRANYA diimbau beberapa tahun kebelakangan ini, Perak FC merupakan antara pasukan Liga Super yang paling cenderung memberi kepercayaan terhadap bekas pemain untuk menjadi jurulatih pasukan.
Ia turut disaksikan ketika ini apabila terdapat tiga bekas pemain, iaitu Yusri Che Lah, Raja Azlan Shah Raja So'ib dan V Saravanan dalam barisan kejurulatihan.
Pengendali terdahulu seperti Chong Yee Fatt serta Syamsul Saad juga pernah berbakti buat skuad The Bos Gaurus (TBG) pada zaman permainan masing-masing, sekali gus membuktikan hubungan rapat antara kelab dan bekas pemain pasukan.
Pendekatan itu dibuat berpunca daripada kesefahaman baik antara mereka dengan penyokong di samping jiwa mereka yang cukup dekat dengan kelab berkenaan setelah meluangkan masa bertahun-tahun berbakti buat mereka.
Namun, bagi seorang bekas pemain skuad Seladang, hubungannya bersama pasukan Utara tanah air itu tidak boleh dinafikan kerana pernah mengendalikan mereka bukan sahaja sekali, namun sebanyak empat kali dalam karier kejurulatihannya.
BACA LAGI: Ramadhan sahaja tak cukup, skuad TBG mahu sambar 'keeper' dari JDT, skuad Jang
Yusri yang merupakan ketua jurulatih skuad TBG juga pernah beraksi buat kelab itu.
Datuk M Karathu yang sememangnya sukar dilupakan penyokong Perak FC merupakan seorang pengendali cukup ternama dalam dunia bola sepak tanah air selepas menceburi bidang itu pada 1971.
Meskipun hanya diberikan peluang bersama pasukan belia, ia tidak melunturkan semangatnya dengan dia mengambil peluang tersebut untuk menjadi antara yang terbaik dalam kalangan pencabarnya.
Kesungguhan itu membuahkan hasil apabila pada 1989, Karathu diberikan kepercayaan mengendalikan skuad TBG yang menjadi salah sebuah pasukan dikagumi dalam negara.
Tempohnya bersama Perak FA tidak berpanjangan setelah dia berpisah dengan mereka pada tahun berikutnya yang memberi peluang buatnya menimba pengalaman di pentas antarabangsa bersama skuad belia negara serta Sri Lanka dari 1999 sehingga 2000.
Bagaimanapun, hatinya lebih tertarik untuk kekal di negeri kelahirannya apabila dia kembali ke pangkuan skuad TBG pada 2001 kerana mereka memerlukan sentuhan seseorang yang berpengalaman.
BACA LAGI: Hero Piala Malaysia 2018 Terengganu antara disebut sertai skuad TBG tak lama lagi
Karathu merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak tanah air.
Kehadirannya membawa satu nafas baharu buat pasukan itu yang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun tewas kepada Terengganu FA.
Selain itu, Karathu juga mengembalikan reputasi mereka sebagai antara yang cukup digeruni dengan rekod cukup baik dalam saingan Liga Malaysia.
Meskipun hanya kekal untuk setahun bersama Perak FA, kasih sayangnya buat skuad Seladang masih tidak luntur kerana pada 2009, pengendali yang kini berusia 80 tahun itu kembali buat kali ketiga bersama mereka.
Pasukan yang dibintangi pemain seperti K Nanthakumar dan S Subramaniam bagaimanapun bukanlah yang terbaik pada waktu itu kerana mereka hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10.
Penyingkiran awal dalam Piala Malaysia serta kekalahan di tangan seteru utama, Selangor FA dalam saingan Piala FA turut memberi kesan buat pasukan, terutamanya penyokong yang mendambakan perubahan.
Beberapa pencapaian Karathu bersama skuad TRW pada 2011. — Facebook/Karathu Maruthaiah
Hal tersebut menyaksikan Karathu digugurkan bagi memberi peluang buat seorang lagi bekas pemain, Raja Azlan Shah, sekali gus menyaksikan Karathu menyertai Kelantan FA.
Walaupun meraih beberapa kenangan manis di Pantai Timur, termasuk menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super 2011, jodohnya bersama pasukan itu tidak berpanjangan.
Berdasarkan laporan terdahulu, Karathu hanya berkekalan selama semusim bersama skuad The Red Warriors (TRW) yang semestinya memberi impak cukup hebat buat mereka.
Pemergiannya daripada Kelantan FA sekali lagi memberi ruang buatnya kembali ke pangkuan Perak FA pada awal musim 2015 yang juga merupakan kali keempat dalam kariernya mengendalikan skuad TBG.
Karathu mempunyai personaliti tersendiri sepanjang berbelas tahun bergelar jurulatih.
Dia yang hadir untuk menggantikan Vjeran Suminic memberi sinaran awal buat penyokong dengan beberapa keputusan positif pada awal musim dengan lapan mata daripada lima perlawanan pertama Liga Super.
Namun, prestasi tidak menentu pada penghujung saingan menyaksikan Perak FA hanya menduduki tangga kelapan liga dengan pencapaian dalam Piala FA dan Piala Malaysia juga kurang memberangsangkan.
Kini, dengan usianya sudah semakin lanjut, Karathu hanya meluangkan masa bersama keluarga tanpa melibatkan diri secara dekat dengan arena bola sepak tanah air.
Meskipun pernah beberapa kali mencurahkan pandangannya, bekas pemain kebangsaan itu dilihat lebih selesa dikenali sebagai pemerhati dengan hanya kariernya lebih cocok untuk mengangkat namanya dalam kalangan peminat hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram