Dua set trio penggempur JDT makin dominan, tak mustahil Sumareh antara 3 naturalisasi dalam 'option to buy'


  • Podium
  • Khamis, 22 Feb 2024

Mohamadou Sumareh antara pemain naturalisasi Harimau Malaya yang dijangka merudum dalam saingan musim 2024. — Facebook/JDT

BARISAN pemain Johor Darul Takzim (JDT) kini hampir lengkap dengan kemasukan beberapa pemain baharu yang disenaraikan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Posisi serangan paling mencuri tumpuan dengan pilihan import yang dibawa masuk, berada di kelas tersendiri di samping catatan rekod peribadi yang cukup cemerlang bersama kelab terdahulu.

Terbaharu, penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales diumumkan sebagai keluarga baharu Harimau Selatan bagi musim 2024.

Kemasukannya selaku peledak di posisi serangan melengkapkan pilihan pemain terbaik dimiliki pengendalinya, Hector Bidoglio untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Romel Morales diumumkan sebagai penyerang baharu JDT. — Facebook/JDT

Kini, skuad JDT memiliki dua set trio penggempur yang mampu menerjah ke gawang lawan iaitu gandingan Bergson da Silva, Arif Aiman dan Fernando Forestieri di samping Heberty Fernandes, Nicolao Dumitru dan Romel Morales.

Barisan trio itu mula menjadi igauan peminat yang seperti tidak sabar menyaksikan ledakan demi ledakan yang mampu dihasilkan keenam-enam pemain tersebut kelak.

Dalam perkembangan itu, ada juga sebahagian peminat seakan-akan sangsi dengan persembahan beberapa kelibat naturalisasi negara di JDT yang dijangka akan semakin merudum dek kerana lambakan pemain di posisi serangan.

Tiga bekas tonggak utama Harimau Selatan iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula disenaraikan sebagai pemain yang perlu dipinjamkan ataupun berhijrah ke pasukan lain demi perkembangan karier mereka.

9541B1C7-67DA-474A-A82D-E54F2AB6BF81

Mohamadou Sumareh

Pemain sayap kanan Harimau Malaya ini pernah mendominasi posisi itu satu ketika dahulu namun, aksinya semakin tenggelam selepas gagal bersaing dengan lambakan import sedia ada dalam pasukan JDT.

Memiliki ketinggian serta larian deras di posisi sayap, kelicikannya ketika membawa bola sentiasa mencuri tumpuan peminat apabila kerap mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sebelum ini.

Era kegemilangannya bersama pasukan kebangsaan bermula di bawah kendalian Tan Cheng Hoe namun semakin dilupakan selepas posisinya kini lebih didominasi tonggak Gergasi Merah, Faisal Halim.

FB_IMG_1583463262125

Liridon Krasniqi

Meskipun memiliki pengalaman luas di liga luar negara, pemain kelahiran Kosovo berusia 32 tahun ini gagal menempatkan diri dalam kalangan pemain terbaik Harimau Selatan.

Aksi cemerlang ditampilkan di saingan Liga Thailand, India dan Australia bersama kelab yang dipinjamkan masih belum memenuhi kriteria kesebelasan utama dicari JDT.

Kelibatnya bersama skuad kebangsaan juga boleh dikatakan sekadar di tahap memuaskan ekoran persembahannya masih goyah di bawah kendalian jurulatih negara, Kim Pan-gon.

paulaa

Guilherme de Paula

Aksi pemain naturalisasi pertama negara, Guilherme de Paula kian kabur dan sukar dilihat di atas padang meskipun dipinjamkan ke Melaka FC.

Kelab itu yang berdepan isu tunggakan gaji pemain, dilihat sebagai destinasi kurang tepat buat bekas tonggak KL City FC tersebut sekali gus terus mengakibatkan De Paula terus kecundang dalam saingan musim lalu.

Dengan kehadiran muka baharu JDT pada musim ini, kedudukan De Paula untuk diserap masuk semula ke dalam pasukan itu semakin pudar dan mustahil berikutan prestasi semasa pemain tersebut.

Dalam pada itu, beberapa kelab tempatan disebut sebagai destinasi terbaik buat ketiga-tiga pemain itu bagi mengekalkan momentum sebagai pemain khususnya status selaku naturalisasi Harimau Malaya.

Ketika ini, pasukan Perak FC, Kedah FC dan Selangor FC mula meniti di bibir peminat sebagai destinasi terbaik buat pemain tersebut ekoran ketiadaan penyerang berkualiti di kelab itu.

Namun, ketika ini harapan peminat semestinya enggan bakat pemain naturalisasi kebangsaan itu disia-siakan dengan karier bola sepak mereka masih boleh diselamatkan sekiranya terus diberikan kepercayaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram