Ramadhan sahaja tak cukup, skuad TBG mahu sambar 'keeper' dari JDT, skuad Jang


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

Ramadhan (kanan) ketika diumumkan sebagai pemain baharu skuad TBG untuk saingan musim depan. — Facebook/Perak FC

SELEPAS hanya menduduki tangga ke-11 Liga Super 2023, Perak FC kini sedang sibuk mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan akan datang.

Berdasarkan laporan semasa, pasukan Utara tanah air itu sudah sah membawa masuk empat pemain baharu yang sememangnya cukup diperlukan dalam benteng pertahanan mereka.

Salah seorang rekrut baharu skuad The Bos Gaurus (TBG) ialah penjaga gol, Ramadhan Hamid yang dibawa masuk setelah memberi khidmat cukup baik buat PDRM FC.

Keputusan berkenaan sememangnya tepat memandangkan Perak FC memerlukan seorang berkualiti di posisi tersebut, lebih-lebih lagi selepas tempoh pinjaman T Shaheeswaran dari Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak disambung.

BACA LAGI: Ramai kecewa Perak lepaskan penyerang Korea tapi kekalkan Luka Milunovic

WhatsApp Image 2024-02-11 at 09.26.27

Haziq dilaporkan semakin hampir untuk meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Reputasi Ramadhan yang membantu skuad Sang Saka Biru ke kedudukan kelapan Liga Super di samping menjuarai MFL Challenge Cup memberikan bayangan bahawa posisi penjaga gol utama bakal dimilikinya.

Namun, harapan pemain 29 tahun itu untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama Perak FC seakan-akan semakin sukar apabila mereka dilaporkan mahu mendapatkan dua pemain lagi di posisi tersebut.

Menurut perkongsian wartawan tempatan, Fadhirul Suhaimi dalam rancangan Nadi Weekend, pasukan kendalian Yusri Che Lah difahamkan masih berminat untuk mendapatkan Haziq Nadzli dari JDT dan Firdaus Irman dari Negeri Sembilan FC.

Sekiranya perpindahan terbabit menjadi kenyataan, skuad TBG bakal mempunyai beberapa pilihan untuk menjadi barisan pertahanan terakhir pasukan dengan Bryan See dan Farhan Majid juga boleh diturunkan.

BACA LAGI: Bekas pengendali import Perak beri 'tribute', sanjung karier Allahyarham Azraai Khor

WhatsApp Image 2024-02-11 at 09.27.00

Firdaus sudah memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Super ketika ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Untuk rekod, Haziq yang sudah beberapa bulan dikaitkan dengan perpindahan ke Perak FC tidak beraksi bersama skuad utama Harimau Selatan musim lalu.

Bagaimanapun, rekodnya yang cukup baik sepanjang bersama juara bertahan Liga Super itu menyaksikannya menjadi buruan bagi jendela perpindahan kali ini.

Bagi Firdaus pula, persaingan hebat dalam skuad Jang musim lalu menyekat peluangnya untuk beraksi dengan lebih kerap apabila dia hanya merekodkan dua penampilan bersama pasukan senior.

Namun, kedua-dua aksi tersebut sememangnya menaikkan reputasi dan kebolehannya di atas padang memandangkan bekas pengendali, K Devan memilih untuk menurunkannya ketika berdepan Sabah FC dan Selangor FC. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram