BOJAN Hodak antara jurulatih import yang cukup sinonim dengan Liga Malaysia (Liga M) apabila pengendali kelahiran Croatia itu mempunyai pengalaman mengendali beberapa kelab Liga Super termasuklah Johor Darul Takzim (JDT).
Selepas cemerlang mengendali Kelantan pada musim 2012 hingga 2013, Harimau Selatan mengambil keputusan untuk melantik jurulatih berusia 51 tahun berkenaan sebagai pengendali JDT pada musim 2014.
Pada awalnya, desas-desus Hodak ke Johor dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak Harimau Selatan sehingga memaksa mereka mengeluarkan satu kenyataan berhubung khabar angin berkenaan.
Memetik laporan media pada 10 tahun lepas, Persatuan Bola Sepak Johor (JFA) menafikan spekulasi bahawa Hodak akan menggantikan Cesar Ferrando Jimenez dan mengesahkan pengendali Sepanyol itu tidak akan meninggalkan JDT.
“Kami tidak akan membiarkan khabar angin seperti itu mengganggu tumpuan pasukan dalam kempen bola sepak yang sedang berlangsung.
"Jimenez telah membenarkan kredibilitinya dengan mengemudi pasukan ke arah kecemerlangan dan sebarang keputusan untuk menyingkirkannya pada peringkat musim ini adalah mengarut," kata kenyataan itu memetik laporan media pada 2014.
BACA LAGI: Kaka jatuh cinta dengan gameplay Perak masa jumpa JDT
Hodak kini mengendalikan Persib Bandung bagi saingan Liga 1 Indonesia. — Instagram/BojanHodak
BACA LAGI: [VIDEO] Sayur merah kuning masuk tong sampah, video perkenal Romel jadi episod baharu perang dingin JDT, Selangor
Khabar angin Hodak ke JDT mula menjadi bahan bualan penyokong tanah air pada waktu itu apabila dia dilhat menyaksikan perlawanan JDT dan JDT II.
Akan tetapi, JFA mendakwa Hodak berada di stadium Larkin dan Pasir Gudang sebagai pencinta bola sepak dan kebetulan sedang bercuti di Johor ketika khabar angin berkenaan.
Cuma tidak lama selepas kenyataan dari pihak JFA, Harimau Selatan akhirnya mengumumkan Hodak sebagai pengganti Jimenez bagi saingan musim 2014.
Di bawah kendalian bekas ketua jurulatih pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara itu, pasukan JDT menjulang Liga Super pada tahun 2014 buat kali pertama sehinggalah legasi itu diteruskan untuk lapan musim berturut-turut.
Hodak mengakhiri kariernya bersama JDT pada musim 2015 dan selepas itu dia menjadi jurulatih B-23 (2017-2019), PSM Makassar (2020) Kuala Lumpur City FC (2021-2023) dan terkini Persib Bandung bagi musim 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram