NEGERI Sembilan FC (NSFC) difahamkan bakal berwajah baharu untuk saingan musim baharu ini apabila dilaporkan sudah melantik legenda mereka, Efendi Abdul Malek sebagai Pengarah Teknikal bagi membangunkan pemain di peringkat akar umbi.
Selain itu, skuad Jang juga difahamkan sedang menghitung hari untuk mengumumkan ketibaan pengendali baharu bagi menggantikan K.Devan yang tidak disambung kontrak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Negeri Sembilan, Faliq Firdaus berkongsi klu mengenai bakal pengendali skuad Jang Hobin Jang iaitu jurulatih tempatan dan pernah mengendalikan pasukan Liga Super musim lepas.
“Pada awal Mac kami akan umumkan ketua jurulatih dan pra musim kami akan bermula 1 Mac. Baru-baru ini kami dah selesaikan isu tunggakan gaji musim lepas. Saya nak ucap terima kasih kepada Menter Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Utama Aminuddin Harun) dan Presiden PBNS (Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan), kita berjaya selesaikan isu tahun lepas.
“Pemain pun dah 80 peratus selesai dan setakat ini kami dah ada calon import dalam lima pemain untuk musim baharu ini. Sasaran kami adalah nak jadi lebih baiklah dari musim lepas dan mahu memberi persaingan bagi mengelak menjadi pelengkap jadual,” katanya pada Khamis.
Faliq berkata demikian kepada media selepas Seminar Perubatan 2024 anjuran PFAM di Institut Sukan Negara, Kuala Lumpur.
Berdasarkan klu yang dikongsi oleh CEO skuad Jang tersebut, Majoriti cuba menyenaraikan tiga nama jurulatih dijangka bakal mengendalikan Negeri Sembilan.
BACA LAGI: Negeri Sembilan, Kelantan terima ‘offer’ TMJ naik taraf kualiti rumput stadium
1) Azzmi Aziz
Sang Saka Biru adalah kelab terakhir Azzmi menabur bakti sebagai jurulatih. — Facebook/PDRMFC
Bekas jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz antara pengendali yang menyerlah pada saingan musim lalu selepas berhasil melakukan kejutan dengan menumpaskan Selangor FC, Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Namun, jodoh terlerai antara Azzmi dan skuad The Cops apabila wujud percanggahan pendapat dengan pihak pengurusan sehingga memaksa pengendali itu digugurkan pada awal Ogos 2023.
Dengan prestasi dan cara permainannya yang berkemampuan mengendali pasukan Liga Super pada musim lepas, tiada alasan untuk Negeri Sembilan tidak merekrut pengendali berusia 49 tahun itu.
Dengan Negeri Sembilan musim ini banyak mempertaruhkan bakat muda, Azzmi adalah watak sesuai mengendalikan mereka kerana dia mempunyai kebolehan dalam membentuk pemain yang tidak berstatus bintang di mata peminat bola sepak tanah air.
2) Chong Yee Fatt
Yee Fatt mempunyai pengalaman mengendali Perak, KL City dan Penang FC. — Facebook/PenangFC
Chong Yee Fatt juga kini berstatus ejen bebas apabila digugurkan daripada menjadi ketua jurulatih Penang FC dan khidmatnya digantikan dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang dinaikkan pangkat dari skuad Bawah 23 tahun Harimau Kumbang.
Yee Fatt yang juga pernah mengendalikan Perak FC itu bukanlah nama kegemaran bagi penyokong tanah air terutamanya selepas rekodnya membawa Penang ke kedudukan membahayakan pada saingan musim lepas.
Namun pengalamannya bersama beberapa kelab seperti Perak dan Kuala Lumpur (KL) City FC, selain pernah menyandang jawatan sebagai jurulatih serta pengarah teknikal sedikit sebanyak akan membawa pendekatan berbeza untuk skuad Jang.
Perkara mengagumkan mengenai pengendali berusia 46 tahun itu, Yee Fatt adalah jenis jurulatih yang mudah bekerja dengan pasukan bajet rendah seperti Perak di musim 2021 dan Penang pada musim lepas.
Rentetan Negeri Sembilan baru sahaja menyelesaikan isu gaji baru-baru ini, pastinya skuad Jang tidak mengeluarkan bajet yang banyak untuk berbelanja besar seperti membawa masuk banyak pemain import.
3) Rezal Zambery Yahya
Rezal pernah bergelar pemain Negeri Sembilan pada musim 2005 hingga 2010. — Facebook/TRW
Meskipun tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam bidang kejurulatihan, Rezal Zambery Yahya pernah membuktikan kebolehannya sepanjang mengendali Kelantan.
Dia yang pada 2021 dilantik sebagai pembantu jurulatih dan dinaikkan pangkat menjadi pengendali pada musim 2022 menampilkan bakatnya apabila membantu Kelantan FC menjadi naib johan saingan Liga Perdana 2022.
Selepas meninggalkan Kelantan gara-gara masalah gaji, Rezal Zambery dilantik ke jawatan Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC (KUFC) yang baharu pada Julai 2023.
Pengalamannya yang pernah memperbaiki dan meningkatkan program serta pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau itu boleh membantu membentuk pemain muda skuad Jang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram