Duo beradik, bintang malap skuad Lembah Klang dalam radar Tok Gajah


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Barisan pemain skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/Sri Pahang

DEBARAN saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 kian hangat dengan beberapa pasukan tanah air sudah mula mengorak langkah membawa masuk muka baharu dalam skuadnya.

Khidmat tenaga import mahupun pemain tempatan boleh dikatakan sama rata dari segi keperluan sesebuah pasukan yang semestinya mahukan yang terbaik dalam barisan kesebelasan utamanya.

Terbaharu, skuad Sri Pahang FC antara kelab yang dikhabarkan sedang rancak merekrut beberapa pemain berpotensi untuk dibawa masuk menjelang jendela perpindahan pemain ketika ini.

Pasangan kembar kelahiran Malaysia-Australia, Ryan Lambert dan Declan Lambert merupakan antara calon terbaik untuk diserap masuk ke dalam skuad Tok Gajah selepas kedua-duanya difahamkan telah menerima lamaran dari dua kelab handalan tanah air.

Kebolehan beraksi di dua posisi berlainan iaitu di bahagian sayap (Ryan Lambert) dan pertahanan (Declan Lambert), khidmat kedua-dua tonggak pasukan KL City FC itu dilihat lebih sesuai sekiranya di bawah pengurusan Tok Gajah.

BACA LAGI: Skuad Tok Gajah, jaguh Borneo antara kelab lemau sepanjang 'transfer window' 2024

msg-468649021-49447

Ryan Lambert dan Declan Lambert merupakan pasangan kembar terbaik dimiliki negara ketika ini. — Facebook

Merupakan satu nama tidak asing dalam saingan Liga M, gandingan pasangan kembar itu bersama skuad The City Boys sememangnya antara yang mencuri tumpuan selepas kedua-duanya sentiasa disenaraikan dalam kesebelasan utama sepanjang perlawanan musim lalu.

Turut berpengalaman mewakili pasukan kebangsaan, Declan Lambert sebelum ini pernah dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya ketika menghadapi Piala Raja Thailand edisi ke-48 pada 2022.

Memiliki kepantasan dan kawalan bola kemas di posisi pertahanan kanan, ketinggiannya yang mencapai 1.81 meter merupakan antara ciri utama diperlukan dalam sesebuah pasukan bagi memenangi perebutan bola di udara.

Kembarnya, Ryan Lambert tidak kurang hebatnya apabila turut mencatatkan pencapaian cemerlang bersama skuad warga kota pada musim lalu.

Penguasannya di posisi tengah berjaya mencatatkan 29 penampilan bersama KL City dan melakukan tiga bantuan jaringan sekali gus membantu pasukannya menamatkan saingan musim lalu di tangga ketujuh selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023.

Dalam pada itu, ciapan dimuat naik pemerhati sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter pada Khamis, sekali lagi mencetuskan perbualan hangat berhubung hala tuju pasukan Pahang musim depan.

Jelasnya, Sri Pahang FC bakal menjadi destinasi seterusnya buat bekas pemain Selangor FC, Sean Eugene Selvaraj.

BACA LAGI: Fans Tok Gajah persoal kekalkan 'injury prone' Aguero, patut beri peluang buat ubi muda

Sean-Selvaraj1

Sean Selvaraj (kiri) disebut sebagai calon baharu dibawa masuk mewakili skuad Tok Gajah musim 2024. — Facebook/NSFC

"Bawa haluan baru. Difahamkan, Sean Selvaraj to Sri Pahang," ciapnya.

Sean yang berkhidmat bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada penghujung musim 2021 itu sudah mempunyai 26 penampilan dalam semua kejohanan termasuk berjaya mencetak lima jaringan dan merekodkan satu bantuan jaringan dalam saingan Liga Super.

Era kegemilangannya bersama skuad Jang tercatat selepas berjaya membantu pasukannya menghuni tangga keempat Liga Super 2022.

Namun, perkhabaran itu masih lagi menjadi tanda tanya dan teka-teki ramai susulan pihak pengurusan Sri Pahang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perpindahan pemain-pemain tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram