Ibarat ‘5 vs 1’, arkitek JDT boleh bikin Nooa Laine terkesima ketika musim sulung bersama Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

JDT memiliki barisan penyerang berkualiti menjelang musim 2024 yang bakal bermula tidak lama lagi. — Facebook/JDT

PENGHIJRAHAN pemain berdarah campuran Finland-Malysia, Nooa Laine ke Selangor FC mendapat liputan meluas arena bola sepak tempatan baru-baru ini.

Meskipun hanya dipinjamkan selama setahun bersama Gergasi Merah, namun rata-rata peminat sudah tidak sabar untuk menyaksikan pembaharuan yang bakal dibawakan kelab itu menerusi perancang tengah berpengalaman tersebut.

Untuk rekod, pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini pernah menyarung jersi kebangsaan dan membantu skuad B-23 negara layak ke Piala Asia B23 di Qatar yang akan bermula pada April depan.

Memiliki rekod cemerlang di saingan Liga Finland sebelum ini, nescaya kariernya juga mampu terus menyinar bersama Selangor bermula saingan 2024 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi.

BACA LAGI: Kejayaan import Liga M bawa Jordan ke final Piala Asia bongkar pekung di dada

nooa

Nooa Laine diumumkan selaku pemain baharu Selangor menjelang musim 2024. — Facebook/SelangorFC

Dalam pada itu, seteru utamanya, Johor Darul Takzim (JDT) juga tidak kurang hebatnya apabila telah mula membawa masuk beberapa pemain import sebagai persediaan untuk mengekalkan kejuaraan Liga M pada musim akan datang.

Pernah dikaitkan dengan status penghijrahan Nooa Laine ke saingan tempatan sebelum ini, namun Harimau Selatan sebaliknya memilih untuk 'berahsia' berhubung kelibat yang bakal dibawa masuk ke dalam skuadnya.

Ramai yang menjangkakan bahawa kemasukan perancang kacukan tanah air itu ke Selangor mampu mencabar kedudukan Harimau Selatan selaku kuasa besar Liga M kelak.

Namun, tanpa disedari, JDT sebenarnya memiliki kelebihan besar berbanding skuad Tan Cheng Hoe ekoran barisan pemain tengah dimiliki, kini mencatatkan seramai lima pilihan buat jurulatihnya.

Lima pemain dimaksudkan adalah Afiq Fazail, Syamer Kutty, Shio Hong Wan, Natxo Insa dan yang terbaharu, Jalil Elias.

BACA LAGI: Pintu ke JDT bagai tertutup rapat, Dion Cools antara 3 bintang boleh kena 'sailang'

jalil

JDT membawa masuk Jalil Elias sebagai perancang tengah terbaharu menjelang persiapan musim 2024. — Facebook/JDT

Dengan barisan pemain tengah yang dilihat 'solid' dimiliki JDT ketika ini, ia boleh diibaratkan seperti taktikal '5 vs 1' bagi mengekang asakan dari pencabarnya terkuatnya dari Lembah Klang itu.

Situasi itu disokong kuat apabila arkitek tengah Selangor sebelum ini iaitu Brendan Gan, juga mengambil keputusan tidak lagi bersama kelab itu pada musim depan.

Merupakan antara tonggak utama serta kapten pasukan yang bertanggungjawab melonjakkan nama Selangor sejak beberapa musim lalu, kehilangan watak penting itu pastinya meninggalkan kesan mendalam buat kelab itu yang juga secara tidak langsung mengundang tekanan buat Nooa Laine yang disebut-sebut sebagai penggantinya.

Selangor FC mengumumkan Brendan Gan tidak lagi beraksi bersamanya pada saingan musim 2024. — Facebook/SelangorFC

Bercakap soal pendatang baharu JDT iaitu Jalil Elias, perancang kelahiran Syria itu merupakan pemain termahal Liga M setakat ini yang mencecah nilai 3 juta Euro (RM15.2 juta).

Pernah beraksi dengan beberapa pasukan ternama dunia, kelab terakhir yang disertainya adalah San Lorenzo dari 2021 hingga 2023 yang sekali gus membuktikan betapa JDT semakin ghairah memburu kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 bagi musim 2024.

Ditambah pula dengan beberapa perancang tengah lain dimiliki, ia pastinya menjadi tonik terbaik buat Harimau Selatan untuk sentiasa bersedia di posisi itu tak kira apa jua situasi yang menimpa kelabnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram