Tidak lagi di bangku simpanan, 4 'winger' HM dengan tambahan minit permainan bikin KPG pening


  • Podium
  • Khamis, 15 Feb 2024

Kim Pan-gon (kanan) membawa peningkatan dalam skuad negara sejak mengendalikan Harimau Malaya pada Februari 2022. — FAM

JENDELA perpindahan pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 kian rancak dengan beberapa pasukan sudah mula mengambil langkah awal menamakan muka baharu dalam skuadnya.

Johor Darul Takzim (JDT) antara kelab terawal mengatur strategi apabila telah membawa masuk dua import baharu dalam pasukannya menjelang saingan musim depan.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah kehangatan kancah liga tempatan yang dijangka kembali meriah selepas pasukan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu mengambil langkah berani melepaskan dua tonggak utamanya ke kelab lain.

Bagaimanapun, perkara itu menerima pelbagai reaksi positif dalam kalangan pemerhati bola sepak tanah air berhubung peningkatan prestasi pemain yang dipinjamkan.

Jika sebelum ini, isu kekurangan minit permainan sering menghantui pemain-pemain di JDT, namun pemergian pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid ke Terengganu FC secara pinjaman merupakan penyelesaian terbaik berhubung prestasi mereka.

BACA LAGI: Kejayaan import Liga M bawa Jordan ke final Piala Asia bongkar pekung di dada

2540399

Akhyar (kiri) dan Safawi menjadi pilihan Tomislav Steinbruckner untuk menambah sengat dalam jentera serangan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

BACA LAGI: Kehadiran tonggak kelab EPL berdarah Melaka mampu realisasikan misi Malaysia ke Piala Dunia

Bercakap soal cabaran skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, perkembangan pemain dalam saingan Liga M juga dilihat banyak menyumbang kepada prestasi anak-anak buah Kim Pan-gon kelak.

Ketika ini, empat tonggak utama pasukan kebangsaan di posisi sayap dijangka berada dalam momentum terbaik menjelang pertemuan dengan pasukan Oman bulan depan.

Selain Akhyar Rashid dan Safawi Rasid, dua lagi pemain iaitu Arif Aiman dan Faisal Halim turut sedang dipersiapkan kelab masing-masing yang mana sentiasa menjanjikan minit permainan serta tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Jika dilihat dari segi prestasi semasa, bintang JDT dan Selangor FC itu sememangnya antara tonggak utama dalam pasukan sepanjang musim lalu dan khidmat kedua-duanya dijangka akan terus digunakan sebaiknya pengurusan kelab masing-masing.

jdc

Faisal (kiri) dan Arif (kanan) merupakan tonggak utama dalam skuad Harimau Malaya. — FAM

BACA LAGI: Peledak gred A++ ada darah warisan, HM berpeluang sambar calon prolifik Belanda

Justeru, situasi itu secara tidak langsung turut menjanjikan peningkatan sekiranya keempat-empat pemain tersebut beraksi bersama Harimau Malaya dengan kesemua mereka bukan lagi berstatus pemain kedua yang sekadar memanaskan bangku simpanan.

Urusan selanjutnya, Pan-gon dalam pada masa sama juga bakal berdepan cabaran getir dalam membuat pilihan pemain susulan persaingan sengit yang bakal diberikan khususnya di posisi sayap utama negara.

Di Piala Asia Qatar lalu, gandingan Arif Aiman dan Faisal Halim lebih banyak mendominasi kesebelasan utama dek kerana kelebihan minit permainan dimiliki dalam saingan Liga M.

Namun, pusingan kelayakan Piala Dunia kelak pastinya menjanjikan kelainan dengan kesemua pemain sayap utama negara baik di sayap kiri mahupun kanan dijangka berada di prestasi terbaik menjelang musim 2024 yang sekali gus mampu memahat satu lagi sejarah bermakna buat Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram