Kejayaan import Liga M bawa Jordan ke final Piala Asia bongkar pekung di dada


  • Podium
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Finalis Piala Asia skuad Jordan, Mahmoud Al Mardi (jersi no.13) pernah beraksi bersama Kedah. — Agensi

KEJOHANAN Piala Asia 2023 kian hangat selepas dua pasukan iaitu Jordan dan Qatar berjaya mengesahkan tempat di perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada Sabtu nanti.

Meskipun skuad kebangsaan sudah tersingkir di peringkat kumpulan, namun tumpuan penyokong tanah air kini terarah kepada aksi empat pemain import Liga Malaysia (Liga M) yang bakal berjuang merebut trofi kejuaraan tersebut.

Kesemua mereka merupakan tonggak utama pasukan Jordan yang berjaya melakar sejarah layak ke final Piala Asia buat kali pertama selepas menumbangkan Korea Selatan dengan keputusan 2-0 pada Rabu.

Empat pemain berkenaan ialah Noor Al-Rawabdeh (Selangor), Yazan Al-Arab (Selangor), Mahmoud Al Mardi (Kedah Darul Aman) dan Fadi Mahmoud Awad Saleh (PDRM).

BACA LAGI: Aksi HM cetus impak Liga M, kelab domestik perlu segera 'level up' pemain setaraf Asia

i (1)

Skuad Jordan berjaya menewaskan pasukan pilihan Korea Selatan pada pusingan separuh akhir Piala Asia 2023. — Agensi

Namun, segelintir pihak mula mempersoalkan kredibiliti pemain-pemain tersebut yang dikatakan gagal menyamai rekod cemerlang di Piala Asia semasa mewakili pasukan tempatan di Liga M.

Perkara itu berbalik kepada faktor serta kelemahan yang ada pada kancah liga bola sepak negara sehingga gagal memanfaatkan potensi dimiliki pemain-pemain berkenaan.

Buktinya, kesemua mereka masih gagal mencabar rekod cemerlang dikecapi import pasukan lain terutamanya Johor Darul Takzim (JDT).

Beberapa faktor dilihat menjadi punca utama kepada permasalahan tersebut yang secara tidak langsung membongkar kelemahan serta kualiti Liga M sepanjang musim lalu.

unnamed

1. Sistem pengadilan bertaraf FIFA (VAR)

Penggunaan sistem pengadilan secara Video Bantuan Pengadil (VAR) memainkan peranan penting pada prestasi seseorang pemain.

Saingan domestik negara ketika ini yang masih belum mempraktikkan sistem VAR dilihat telah banyak mencetuskan perbalahan dalam kalangan pemain susulan keputusan yang disifatkan 'berat sebelah' oleh pengadil.

Justeru, emosi serta keupayaan seseorang pemain itu juga secara tidak langsung akan terjejas dek kerana pengadilan yang kurang telus daripada pengadil terutamanya ketika layangan kad diberikan.

Situasi itu nyata agak kontra dengan tahap disiplin serta profesionalisme seseorang pemain import yang kebanyakannya datang dari negara yang berada di ranking lebih tinggi dari Harimau Malaya.

BACA LAGI: Kehadiran tonggak kelab EPL berdarah Melaka mampu realisasikan misi Malaysia ke Piala Dunia

4480dc423cb8d6088cdc6a55f6daa05d_750x496

2. Perbezaan corak permainan

Corak permainan pasukan di Liga M rata-ratanya masih mengamalkan gaya hantaran 'long ball' ataupun sepakan jauh yang seperti sudah tidak relevan di pentas tertinggi.

Aksi di Piala Asia misalnya jelas melihatkan penguasaan bola secara 'one-to-one' amat dititik beratkan dalam setiap pasukan terutamanya Jordan dan Jepun.

Berbeza di Malaysia, hantaran tinggi masih diterapkan sebagai taktikal dalam perlawanan yang secara amnya gagal diterjemahkan sebaiknya oleh barisan pemain import.

Keempat-empat pemain import itu yang sebelum ini mungkin sudah terbiasa dengan taktikal hantaran pendek, kini terpaksa membiasakan diri dengan corak bertahan ataupun hantaran bola lambung yang sekali gus membataskan aksi lincah mereka di atas padang.

dayo

3. Isu luar padang, tunggakan gaji mungkin jejas mental pemain

Kemelut luar padang serta isu tunggakan gaji segelintir pasukan tempatan kian meruncing selepas berakhirnya saingan musim lalu.

Perkara itu dikhuatiti mungkin menjejaskan tumpuan serta mental pemain-pemain import yang beraksi dalam kancah Liga M susulan kontroversi hangat membabitkan pasukan mereka.

Skuad Sang Kenari merupakan antara kelab yang terpalit dengan krisis tunggakan gaji pemainnya yang dikatakan tidak menerima bayaran selama empat bulan.

Meskipun individu yang terkesan bukan dalam kalangan pemain import, namun ia secara tidak langsung boleh meninggalkan persepsi buruk serta momentum negatif terhadap persembahan mereka dalam perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram