Skuad Tok Gajah, jaguh Borneo antara kelab lemau sepanjang 'transfer window' 2024


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Akram Mahinan antara pemain yang dijangka meninggalkan KL City. — Facebook/KL City

PERSIAPAN pasukan menjelang musim baharu Liga Super kini berjalan lancar dengan setiap pasukan mula mendapatkan pemain baharu untuk menguatkan skuad sedia ada.

Terdapat pelbagai berita serta spekulasi keluar masuk melibatkan para pemain termasuklah jurulatih yang akan menyertai Liga Super.

Walaupun perpindahan sedang rancak berlaku, namun masih ada pasukan yang masih 'lemau' tidak melakukan aktiviti jual beli pemain. Jika ada pun, jumlahnya sangat minima.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga pasukan yang sedang 'sendu' dalam usaha mendapatkan pemain baharu:

1. Kuala Lumpur City FC

Setakat ini, skuad Warga Kota tidak mempunyai sebarang perpindahan masuk untuk menguatkan skuad yang sedia ada.

Sebaliknya, skuad kendalian Nenad Bacina itu hanya mempunyai pelbagai spekulasi mengenai perpindahan keluar dari pasukan seperi Romel Morales, Declan Lambert dan Akram Mahinan.

Romel yang baru saja dinaturaliasikan dijangka akan menyertai Johor Darul Ta'zim, sementara Akram menjadi beberapa pasukan seperti Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.

Manakala Lambert pula dikatakan akan merentas sempadan untuk menyertai Selangor FC. Berkemungkinan, isu tunggakan gaji yang melanda kelab membuatkan lebih banyak cerita pemain keluar daripada masuk.

BACA LAGI: Bakal rentas sempadan, pertahanan KL City dikhabar akan sertai kembara Selangor ke Asia

405933970_18243177958237328_8170208909303861016_n

Romel dijangka akan menyertai JDT selepas Piala Asia. — Facebook/Kuala Lumpur City

2. Sabah FC

Jaguh bola sepak Borneo itu turut mempunyai jendela perpindahan yang sunyi berbanding jiran mereka iaitu Kuching City FC.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee turut mempunyai episod sama seperti KL City apabila kurang usaha mendapatkan pemain baharu. Sebaliknya, terdapat beberapa spekulasi mengatakan yang jurulatih itu akan kehilangan ramai pemain utama terutamanya di bahagian pertahanan.

Dengan bintang-bintang Harimau Malaya seperti Stuart Wilkin dan Darren Lok sentiasa jadi buruan, ia pastinya menambah resah usaha penyokong Sabah terhadap persediaan pasukan untuk musim baharu.

Atau mungkin, Sabah sedang mengutamakan fokus kepada saingan Piala AFC terlebih dahulu sebelum memilih untuk mendapatkan pemain baharu selepas kempen selesai.

412056588_748898413943519_1496730960301037164_n

Wilkin menjadi buruan pelbagai kelab. — Facebook/Sabah FC

3. Sri Pahang FC

Sebelum ini, skuad Tok Gajah gempar seketika apabila pengendalinya iaitu Fandi Ahmad secara terbuka meminta Malaysian Football League (MFL) memberikan garis masa musim baharu dengan segara.

Tujuannya adalah untuk membantu pasukan melakukan perancangan termasuklah mendapatkan pemain baharu. Namun begitu, Sri Pahang dilihat belum memulakan sebarang gerak mendapatkan pemain baharu.

Belum ada sebarang pergerakan daripada Sri Pahang untuk menguatkan pasukan terutamanya untuk menggantikan barisan pemain JDT yang dipinjam pada musim 2023 seperti Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.

400684007_711067797721921_2286070372399540763_n

Azrif perlu diganti oleh Sri Pahang. — Facebook/Sri Pahang FC

Mungkin mereka mengambil sedikit masa supaya pemain yang dibawa masuk akan memberikan impak yang diharapkan dan bukannya menghasilkan persembahan mengecewakan.

Ketiga-tiga pasukan ini mungkin ada rancangan mereka dalam mendapatkan pemain. Namun melihat kepada pasukan lain yang lebih pantas, adalah lebih baik untuk mereka turut menaikkan gear.

Bukan apa, risau jika tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil orang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram