SUSULAN kegagalan skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia baru-baru ini, tumpuan peminat tanah air kini terarah kepada perjalanan negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan depan.
Skuad kendalian Kim Pan-gon terlebih dahulu akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac depan sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.
Bakal berdepan pasukan di ranking ke-74 dunia, kem Harimau Malaya memerlukan taktikal serta perancangan baharu untuk terus melayakkan diri ke pusingan seterusnya kelak.
Justeru, khidmat pemain-pemain warisan semakin ditagih penyokong kebangsaan dengan beberapa calon baharu diyakini mampu diterapkan ke dalam skuad kebangsaan untuk terus melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.
BACA LAGI: Pintu ke JDT bagai tertutup rapat, Dion Cools antara 3 bintang boleh kena 'sailang'
Skuad kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan Piala Asia 2023 baru-baru ini. — FAM
BACA LAGI: Peledak gred A++ ada darah warisan, HM berpeluang sambar calon prolifik Belanda
Terbaharu, seorang bintang yang berkelana di English Premier League (EPL) semakin menjadi sebutan ramai selepas dikatakan mempunyai darah kacukan Malaysia.
Mewakili AFC Bournemouth di EPL, Marcus Joseph Tavernier dicanang sebagai calon terbaharu untuk dijadikan penyerang Harimau Malaya.
Berdasarkan hantaran dimuat naik di laman Instagram Future Talents, Tavernier difahamkan memiliki pertalian darah Malaysia melalui datuk sebelah ibunya yang dikatakan berasal dari Melaka.
Marcus Joseph Tavernier (tengah) merupakan calon terbaharu untuk diserap masuk sebagai pemain warisan negara. — Agensi
Memulakan karier awalnya bersama Newcastle United serta Middlesbrough FC, Tavernier kemudiannya menyertai Bournermouth FC pada 2022 dan kini menjadi antara pilihan utama di posisi serangan.
Kecemerlangan pemain itu pada musim ini terbukti apabila berjaya memperoleh sebanyak 19 penampilan, dua jaringan serta empat bantuan gol dalam saingan EPL.
Memiliki penampilan bersama skuad kebangsaan B-20 England sebelum ini, namun dia masih belum berpeluang untuk beraksi bersama skuad senior susulan persaingan sengit serta lambakan pemain yang beraksi di posisinya.
Justeru, masih belum terlambat buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk segera menyambar dan cuba memikat menawan hati peledak sensasi itu sebagai salah satu persiapan negara di kelayakan Piala Dunia kelak.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang pemain kelahiran Belanda dikesan sebagai salah satu calon terbaik untuk mengisi kekosongan peledak Harimau Malaya.
Dilahirkan di Uitgeest, Belanda, penyerang berusia 25 tahun, Ferdy Druijf memulakan karier awalnya bersama salah sebuah akademi bola sepak terbaik di negara tersebut iaitu Az Alkmaar Youth sebelum berjaya menembusi skuad utamanya pada 2019.
Tambahan itu, darah kacukan pemain itu dikesan melalui pertalian darah menerusi ibunya yang dipercayai berasal dari Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram