Fans Tok Gajah persoal kekalkan 'injury prone' Aguero, patut beri peluang buat ubi muda


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Aguero akan terus menyarung jersi skuad Tok Gajah untuk saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

BAGI mempersiapkan skuad untuk saingan musim depan, Sri Pahang FC mula mengatur langkah dengan mengekalkan beberapa tonggak pasukan yang beraksi dengan cemerlang sepanjang 2023.

Dua bek sayap, Azrif Nasrulhaq dan Syazwan Andik merupakan dua nama yang pada awalnya dikekalkan setelah masing-masing hadir dengan status pinjaman sebelum ini.

Langkah kelab Pantai Timur berkenaan tidak terhenti di situ apabila pada Rabu, Sri Pahang mengumumkan pemain tengah merangkap kapten pasukan, Sergio Aguero juga akan dikekalkan.

Pemain yang dikenali dengan kebolehan beraksi dalam beberapa posisi itu memainkan peranan penting dengan lima gol dan lima bantuan jaringannya membantu mereka ke kedudukan kelima Liga Super.

Pengalamannya beraksi dalam beberapa kelab tanah air, termasuk bersama Harimau Malaya membolehkannya diberikan tanggungjawab itu meskipun beberapa perlawanan menyaksikan tugasan itu dipikul Kpah Sherman.

BACA LAGI: Sah 'ikat tepi' Syazwan Andik, gandingan bersama Azam Azih diharap beri sinar buat Tok Gajah

422048488_754946360000731_2272004513868557337_n

Aguero merupakan pemain ketiga yang kekal secara rasmi buat skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Tetapi, sumbangannya itu dikatakan kurang mencukupi untuk membantu pasukan secara keseluruhan kerana isu kecederaan yang sering dialaminya sepanjang bersama skuad Tok Gajah.

Secara keseluruhan, Aguero merekodkan 14 penampilan secara keseluruhan buat Sri Pahang FC dalam Liga Super dengan baki daripadanya menyaksikannya terpaksa disisihkan.

Perkara berkenaan menjadi antara perkara yang dikhuatiri fans Tok Gajah seperti mana dapat disaksikan di ruangan komen kepada hantaran mengenai keputusan pasukan untuk mengekalkannya.

"Harap tahun ini tak sering alami kecederaan seperti tahun lalu," kata Fitry SA.

"Nampak agak menurun sedikit prestasinya sekarang, adakah kesan dari kecederaan?" kata Shah Roswell Return.

BACA LAGI: Dua import 'Polis' antara calon terbaik Tok Gajah capai sasaran Top 3 Liga Super

281578954_5255375211189797_1414042904110790030_n

Saiful (kiri) pernah diturunkan dalam aksi Liga Super untuk beberapa kali. Facebook/Sri Pahang FC

"Bukan ke dia selalu cedera penghujung musim lalu, harapnya dapatlah perbaiki perkara tu," kata Nina Razak.

Aguero sebelum ini menyertai skuad Tok Gajah dari Perak FC pada November 2021 dengan sumbangannya terus ditagih pihak kejurulatihan setiap musim.

Bagaimanapun, dengan kecergasannya semakin merudum, terdapat cadangan daripada orang ramai yang mengharapkan agar pemain berusia 29 tahun itu disisihkan bagi memberi peluang buat 'ubi muda' pasukan.

Antara nama-nama yang disebut ialah pemain muda Tok Gajah, Saiful Jamaluddin yang beberapa kali beraksi buat skuad senior, termasuk ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2022.

Meskipun hanya beraksi sebagai pemain tengah bertahan, kebolehannya melakukan rembatan dari luar kotak tidak boleh dipertikaikan dengan ia merupakan salah satu kelebihan dimilikinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram