POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki terapung di Tasik Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar pukul 8.19 pagi daripada orang awam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki warga asing.
"Pihak polis juga percaya mangsa merupakan warga asing kerana tidak mempunyai suntikan BCG (bacille Calmette-Guerin) di bahu sebelah kiri.
"Mayat mangsa dijumpai berpakaian lengkap dalam keadaan terlangkup," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan warga asing, mayat terapung dekat tali air Bagan Serai sah penduduk tempatan
BACA LAGI: [VIDEO] Mayat 24 jam terapung dalam parit, orang tak perasan walaupun dirakam CCTV masjid
Mohd Iqbal berkata, hasil pemeriksaan pihak forensik Selangor ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan luka melecet pada leher di sebelah kanan dan kiri selain luka kecil pada pipi dan hidung.
Namun, difahamkan tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian.
Mohd Iqbal berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah laporan kematian mengejut (SDR).
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram