[VIDEO] Hina, serang polis lepas keluarga kemalangan, PDRM buru kumpulan lelaki merusuh di Temerloh


  • 112
  • Rabu, 07 Feb 2024

Tangkap layar sekumpulan lelaki didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan menyerang anggota polis di sebuah jalan raya dekat Temerloh, Pahang pada Selasa.

SEKUMPULAN lelaki berpelakuan kasar apabila didakwa merusuh, menolak dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis serta memukul orang awam di lokasi kemalangan maut di kilometer 127 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan, Temerloh, Pahang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya telah menahan seorang suspek berumur 42 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu rompakan berkumpulan dan mencuri di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Beliau berkata, tiga lelaki dipercayai menolak serta menghambur kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis berpangkat sarjan yang ditugaskan ke tempat kejadian, manakala seorang mangsa mendakwa dipukul lima individu kerana merakam kejadian yang menimpa anggota polis tersebut.

"Suspek dipercayai bertindak sedemikian terhadap penguat kuasa polis yang berpakaian seragam kerana tidak berpuas hati dan beranggapan anggota itu tidak memberi bantuan kepada mangsa kemalangan, sedangkan individu terbabit telah melakukan tindakan sewajarnya.

"Orang awam yang didakwa dipukul lima lelaki itu merupakan pengawal keselamatan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Insiden itu menyebabkan dia cedera di kening selain semua cermin keretanya dipecahkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas lori kontena rempuh pembahagi jalan, pemandu maut tercampak bawah jejambat di SKVE

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada suntikan BCG bongkar identiti mayat terapung Tasik Seksyen 14 Shah Alam

Tambahnya, kekecohan itu dikatakan tercetus selepas sekumpulan individu dipercayai ahli keluarga dan rakan kepada seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang maut dalam kemalangan itu tiba di lokasi kejadian.

Mangsa yang bekerja di kedai besi buruk itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan kaki kanan selepas motosikalnya dipercayai melanggar sisi sebuah kereta Perodua Myvi yang dikatakan membuat pusingan U di garisan berkembar laluan tersebut.

Pemandu kereta berusia 75 tahun itu, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut berkaitan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakut-nakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang dan Seksyen 148 KK iaitu merusuh serta Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram