PENINGKATAN dipamerkan skuad Harimau Malaya selepas berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak berkaitan pencapaian pasukan kebangsaan.
Kejayaan itu serba sedikit dilihat terhasil susulan program naturalisasi dan pemain warisan yang dibawa masuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang semakin membuahkan hasil kebelakangan ini.
Justeru, kedatangan pemain kacukan berdarah Malaysia semakin disambut baik peminat tempatan yang sangat menggalakkan lebih ramai bakat baharu dibawa masuk untuk mewakili pasukan kebangsaan terutamanya ketika beraksi di peringkat tertinggi.
Terbaharu, seorang pemain kelahiran Belanda dikesan sebagai salah satu calon terbaik untuk mengisi kekosongan peledak Harimau Malaya.
Bakat baharu yang semakin menjadi sebutan ramai itu adalah Ferdy Druijf.
BACA LAGI: Pemain import kagum dengan 'talent' Malaysia, letak JDT 'benchmark' untuk kemajuan Liga M
Ferdy Druijf dikesan sebagai pemain warisan berdarah kacukan Belanda. — Agensi
Dilahirkan di Uitgeest, Belanda, pemain berusia 25 tahun itu memulakan karier awalnya bersama salah sebuah akademi bola sepak terbaik di negara tersebut iaitu Az Alkmaar Youth sebelum berjaya menembusi skuad utamanya pada 2019.
Memiliki ketinggian 1.90 meter, peledak kaki kanan ini boleh beraksi di beberapa posisi berbeza sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama hadapan.
Druijf ketika ini beraksi buat kelab Liga Austria, Rapid Vienna selepas tamat tempoh pinjaman bersama kelab Liga Utama Belanda, PEC Zwolle.
Darah kacukan pemain itu dikesan melalui pertalian darah menerusi ibunya yang dipercayai berasal dari Malaysia.
BACA LAGI: Kelab Malaysia 'level up', 7 pemain import muda bakal beri kejutan di Liga Super musim depan
Ferdy Druijf memiliki pencapaian luar biasa sepanjang kariernya di Belanda. — Agensi
Menurut statistik Transfermarkt, pemain tinggi lampai itu mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang kariernya apabila berjaya menjaringkan sebanyak 112 gol dalam 226 penampilannya.
Dalam pada itu, tinjauan di laman Instagram peribadinya melihatkan individu berkenaan telah mengikuti laman sosial rasmi FAM.
Ia sekali gus mengukuhkan lagi harapan peminat untuk menyaksikan pemain itu menyarung jersi Harimau Malaya pada satu masa kelak.
Untuk rekod, Druijf sebelum ini pernah mewakili pasuka kebangsaan Belanda U20 selain turut memiliki pengalaman meluas di peringkat antarabangsa bersama skuad The Orange U20, U18 dan U17. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram