[VIDEO] Saya terkejut Terengganu juga mohon dana tukar rumput stadium — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Hannah turut mengumumkan terdapat tiga kerajaan negeri bersedia menerima tawaran daripada KBS untuk menaik taraf mutu padang.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) ketika ini sedang memberi usaha terbaik dalam meningkatkan mutu bola sepak negara dengan pelaburan besar-besaran sudah dilakukan.

Antara perkara ditekankan ialah usaha menambah baik kualiti padang dan saliran yang menjadi isu besar dalam sukan tersebut, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

Jadi, dalam mengatasi masalah itu, KBS menawarkan dana peruntukan untuk menukar padang dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia yang digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Stadium Sultan Ismail, Johor.

Bagaimanapun, usaha berkenaan seakan-akan kurang menerima respons menggalakkan daripada pihak pengurusan kelab Liga Super apabila hanya tiga pasukan bersedia menerima tawaran berkenaan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, pasukan tersebut ialah Perak FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC dengan isu padang pernah dialami mereka beberapa tahun kebelakangan ini.

BACA LAGI: Hero Piala Malaysia 2018 Terengganu antara disebut sertai skuad TBG tak lama lagi

Namun, baginya, keputusan skuad Sang Penyu untuk menyahut perubahan berkenaan sedikit menarik perhatiannya kerana rumput jenis Bermuda Princess 77 yang digunakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu merupakan antara yang terbaik.

"Saya pun terkejut kerana dalam media sosial, orang ramai mengatakan ia memiliki kualiti cukup baik. Tetapi, dalam peruntukan disediakan, kami ada dua tujuan sahaja.

"Satu, ia adalah untuk sistem saliran dan satu lagi adalah untuk penukaran rumput supaya liga boleh berjalan. Jadi, matlamat itu bukan khas buat bola sepak sahaja dan bukan untuk naik taraf stadium secara keseluruhan," katanya menurut laporan wartawan, Hafiz Omar di laman X.

Berdasarkan laporan, pecahan dana daripada KBS menyaksikan sebanyak RM300,000 diperuntukkan buat kerja-kerja menaik taraf sistem saliran dan RM200,000 bagi penukaran rumput.

BACA LAGI: Safawi dicanang bakal warisi No 7 di Terengganu lepas Ivan Mamut pilih buat perubahan

maxresdefault-700x394

Penggunaan rumput jenis Bermuda cukup sesuai dengan keadaan di Terengganu.

Meskipun tawaran tersebut mampu menaikkan mutu bola sepak tanah air, majoriti daripada kelab Liga Super memilih untuk tidak mengambil peluang berkenaan berikutan kos penjagaan jangka masa panjang yang tinggi.

Tetapi, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor mengatakan bahawa dia terbuka untuk menyumbang RM300,000 bagi tujuan penyelenggaraan padang bagi tahun pertama kepada setiap kelab yang menaik taraf padang menerusi geran KBS tersebut.

Tambah Hannah lagi, pihaknya berharap agar pihak kerajaan negeri untuk memberi respons mengenai tawaran berkenaan bagi memudahkan segala urusan.

"Kita menggesa kerajaan negeri yang belum memberi maklum balas kepada KBS untuk segera (melakukannya) kerana liga akan bermula dan kita akan berbincang dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Duit sudah kita sediakan, tetapi kita hanya mahu pastikan sebelum kami memberi wang tersebut, kami perlu memastikan dana itu disalurkan dengan betul," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram