PIALA Asia yang hanya akan bermula pada pertengahan Januari ini memberi peluang kepada pemain negara mengadakan sesi latihan berpusat dengan lebih berfokus bagi mempersiapkan diri dan pasukan.
Selain melibatkan diri dalam aksi persahabatan berdepan Syria Isnin lalu, mereka juga kelihatan sibuk berlatih di bawah ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang juga pastinya berdebar untuk berdepan cabaran nanti.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan buat mereka untuk tidak mengadakan meluangkan masa di luar padang yang sekali gus dapat mengukuhkan persefahaman setiap kali beraksi.
BACA LAGI: KBS, TMJ 'offer' lebih RM800,000 bantu kelab Liga M baiki mutu padang
Perkara itu sememangnya dilakukan pemain Harimau Malaya apabila beberapa foto yang tular memaparkan beberapa daripada mereka, termasuk Stuart Wilkin, Darren Lok serta Daniel Ting seperti sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran sekitar Qatar.
Namun, apa yang menarik mengenai pertemuan itu adalah apabila mereka turut disertai pemain kebangsaan Indonesia, Sandy Walsh yang hadir dan menikmati masa lapang bersama tonggak skuad kebangsaan.
Sandy Walsh (kiri) kelihatan sedang bersenang-senang di samping beberapa pemain kebangsaan.
Perkongsian tersebut menyaksikan ramai cukup teruja dengan kehadiran bek kanan KV Mechelen itu yang menunjukkan hubungan negara dengan Indonesia cukup baik meskipun sering bertelagah di media sosial.
“Wahh, nampaknya kita ada hubungan yang baik dengan pemain Indonesia. Harapnya ia dapat ditunjukkan penyokong yang juga sering bergaduh setiap kali berlawan,” ujar Zaki Imran.
“Ehh, Sandy Walsh ke tu? Tak ingat dia pernah beraksi lawan Malaysia atau tidak, tapi kalau boleh duduk semeja tu nampak kita ni ada hubungan cukup baik dengan mereka. Kita serumpun!” kata Karim Hashim.
“Sebelum ni nampak ada orang kata hotel Harimau Malaya dengan Indonesia dekat saja. Tak sangka pula boleh lepak semeja macam ni. Ke ada cubaan nak bawa dia ke Liga Super musim depan ni?” kata Jo Labu.
Berdasarkan satu perkongsian di media sosial baru-baru ini, kedua-dua pasukan menginap di hotel berdekatan menjelang saingan Piala Asia dengan masing-masing sedang sibuk mengadakan aksi persahabatan.
Sandy Walsh yang kini beraksi di Belgium pastinya diharapkan mampu membantu skuad kendalian Shin Tae-yong untuk pertandingan kali ini meskipun prestasi mereka bukanlah berada di tahap terbaik beberapa bulan kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram