Safawi dicanang bakal warisi No 7 di Terengganu lepas Ivan Mamut pilih buat perubahan


  • Podium
  • Isnin, 05 Feb 2024

Safawi (atas) dilaporkan bakal menyertai skuad Sang Penyu secara pinjaman pada jendela perpindahan kali ini.

KEPUTUSAN Terengganu FC untuk mengekalkan penjaring terbanyak pasukan, Ivan Mamut merupakan satu langkah yang cukup baik dalam misi menambah baik kedudukan skuad Sang Penyu musim depan.

Penyerang yang pada awalnya hadir dengan reputasi kurang cemerlang menampilkan nilainya pada penghujung tahun lalu dengan jaringan cukup penting, lebih-lebih lagi dalam saingan Piala Malaysia.

Kualitinya turut disaksikan dalam saingan Liga Super apabila import dari Croatia itu menjaringkan 11 gol untuk meletakkan kelab Pantai Timur itu di kedudukan keenam.

Jadi, untuk terus mengangkat namanya sebagai antara penyerang terbaik dimiliki pasukan beberapa tahun kebelakangan ini, skuad Sang Penyu mengambil keputusan memberikannya nombor baharu bagi saingan akan datang.

Berdasarkan satu pengumuman di laman media sosial Terengganu FC pada Ahad, pemain berusia 26 tahun itu bakal menyarung jersi no 9 yang sebelum ini dipakai bekas tonggak skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

BACA LAGI: Ramai sokong andai 'Pok Li' pilih sertai seteru Pantai Timur skuad Sang Penyu musim depan

426061370_376069848467789_1304138458649458078_n

Ivan Mamut akan memakai no 9 bersama skuad Sang Penyu musim depan.

Meskipun perubahan berkenaan tidak memberikan satu perubahan ketara buat mana-mana pihak, ia sedikit sebanyak membuktikan usaha kelab untuk mengangkat nilai Ivan Mamut memandangkan nombor berkenaan cukup serasi dengan seorang penyerang.

Namun, perubahan terbabit menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong kerana sebahagian daripada mereka tertarik untuk mengetahui siapakah bakal menyarung jersi no 7 musim depan.

Berdasarkan tekaan orang ramai di ruangan komen, sebahagian daripada mereka berpendapat penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid merupakan pemakai baharu nombor berkenaan.

"Rasanya kalau Pawi jadi sertai Terengganu, dia akan pakai nombor 7 tu kot," kata Jalil Iman.

"No 7 tu bagi Safawi baik juga. Harapnya jadilah dia sertai Terengganu musim depan," kata Karim Hashim.

"Agaknya no 7 tu Terengganu boleh bagi dekat Safawi. Tu pun kalau dia sah sertai Terengganu FC," ujar Haziq Manaf.

BACA LAGI: [VIDEO] Provokasi rupanya punca aksi bola sepak amatur di Terengganu jadi hangat

Keep+working+hard+++#malaysiacup+@officialjohor

Safawi sudah kian kehilangan tempatnya dalam skuad Harimau Selatan ketika ini. β€” Instagram/Safawi Rasid

Setakat ini, pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner hanya mengesahkan kehadiran seorang pemain baharu, Akram Mahinan yang dibawa masuk untuk memperkukuhkan pasukan bagi musim akan datang.

Namun, melihat kepada prestasi sebelum ini, mereka dilihat akan terus membawa masuk rekrut baharu, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Skuad Sang Penyu sebelum ini dilaporkan bersedia mendapatkan Safawi selepas tempatnya dalam skuad Harimau Selatan tidak lagi terjamin beberapa musim kebelakangan ini.

Bagaimanapun, perpindahan terbabit masih belum dimeterai dengan masa depan Safawi masih belum diputuskan meskipun terdapat khabar angin mengatakan khidmatnya tidak lagi diperlukan.

Selain penyerang berusia 26 tahun itu, seorang lagi penyerang sayap dari juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu, Akhyar Rasid dilaporkan bersedia untuk menyertai Terengganu FC. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram