Negeri Sembilan, Kelantan terima ‘offer’ TMJ naik taraf kualiti rumput stadium


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

TMJ (tengah) berkenan memberikan bantuan kepada kelab Liga Super berkaitan naik taraf kualiti rumput stadium yang menjadi venue masing-masing. — MFL

PERUNTUKAN sebanyak RM500,000 yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disambut baik oleh Exco Sukan Negeri bagi menaik taraf sistem saliran dan penukaran rumput padang di stadium yang terlibat dalam Liga Super.

Selain RM500,000 yang diperuntukkan oleh KBS, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut sama bertitah untuk memberikan bantuan kewangan sebanyak RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang yang dinaiktaraf menerusi geran KBS kepada kelab-kelab Liga Super.

Justeru, ini merupakan permulaan yang cukup baik untuk setiap Exco Sukan Negeri memulakan tugas bagi menggunakan geran yang akan diberikan ini bagi menaik taraf padang sebelum sepak mula Liga Super bermula pada Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Tuan Haji Mustapha Nagoor bersedia untuk sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik membabitkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terutamanya dari aspek sistem saliran.

BACA LAGI: Bukan perkara baharu, isu rumput sudah 'menghantui' FAM, SNBJ sejak 2014

IMG_4915

Delagasi kelab Liga Super melawat Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. — MFL

“Kami di Negeri Sembilan nak mengucapkan terima kasih atas jemputan kali ini dan kami sempat juga pergi melawat fasiliti sukan di Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi (Selasa).

“Sudah tentu kami di peringkat negeri menerima baik tawaran oleh KBS untuk memberi geran sebanyak RM500 ribu bagi menaiktaraf sistem saliran dan juga rumput padang.

“Sepertimana yang diperkatakan oleh TMJ di mana masalah yang sering dihadapi oleh setiap negeri adalah kewangan dan TMJ sedia memberikan sumbangan sebanyak RM300 ribu bagi penyelenggaraan padang di setiap stadium.

“Jadi, kami bersedia untuk membuat perubahan itu dan memastikan tiada lagi peristiwa tempoh hari (penundaan perlawanan akibat hujan lebat) berlaku untuk musim baharu ini,” katanya dalam kenyataan MFL.

IMG_5799

Hannah Yeoh (tengah) turut hadir dalam mesyuarat ini. — MFL

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Tuan Zamakhshari Muhamad pula sedar Stadium Sultan Muhammad IV turut berdepan masalah saliran air sekiranya berlaku hujan lebat.

“Kerajaan negeri Kelantan amat berterima kasih kepada Hannah Yeoh dan juga TMJ atas pengumuman sumbangan untuk kami memperbaiki sistem saliran dan rumput di Stadium Sultan Muhammad IV.

“Saya sedar masalah yang selalu timbul di stadium ini adalah sistem saliran dan isu ini juga telah dibincangkan bagi memperbaiki kelemahan ini.

“Dan Insya-ALLAH hasil perbincangan kita dapat mencari satu kaedah dengan peruntukan yang ada ini untuk melakukan perubahan”, katanya.

Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia & Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 selama dua hari bermula semalam yang turut dihadiri TMJ dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram