SUKAN papan selaju atau lebih dikenali sebagai 'skateboarding' semakin mendapat perhatian di seantero dunia dengan reputasinya sebagai antara sukan ekstrem mula menarik minat anak-anak muda.
Di samping dapat mengenali antara satu sama lain ketika dimainkan, sukan berkenaan juga memberi kelebihan dari segi kesihatan kerana ia dapat membantu menguatkan tubuh badan.
Bagaimanapun, aktiviti lasak terbabit masih belum menerima sambutan menggalakkan dalam negara disebabkan kekurangan pendedahan mengenai manfaatnya kepada diri dan masyarakat.
Kegagalan pihak berkepentingan untuk menyedari hal itu membawa satu kerugian memandangkan sukan lasak itu kini memiliki reputasi cukup hebat sehingga dipertandingkan dalam temasya Olimpik 2020 di Jepun.
BACA LAGI: Uniknya bermain skateboard, boleh berfesyen sambil bersukan
Fatin merupakan salah seorang idola dalam dunia sukan papan luncur di negara.
Namun, bagi atlet papan luncur negara, Fatin Syahirah Roszizi, penerimaan orang ramai terhadap aktiviti berkenaan semakin menggalakkan tanpa mengira jantina dan latar belakang.
Sambutan tersebut mampu memberi peluang kepada mana-mana pihak yang berminat menggalakkan penyertaan secara profesional sehingga ke peringkat lebih tinggi.
"Fatin perasan terdapat lebih ramai penggiat dalam sukan papan selaju, termasuk dalam kalangan wanita. Jadi, dengan adanya pihak seperti jenama tempatan dan komuniti sekeliling, mereka boleh berikan tunjuk ajar bagi golongan pemula," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, pihak berkuasa juga boleh memainkan peranan untuk menarik lebih ramai penggiat dalam sukan terbabit menerusi kelas percuma di lokasi papan luncur disediakan seluruh negara.
Fatin mewakili negara dalam kategori sukan papan luncur di Sukan Asia Jakarta-Palembang.
Fatin sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila bersaing dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018 yang pasti meletakkan satu penanda aras baharu buat peminat aktiviti ekstrem itu.
Walaupun tidak memenangi pingat, tetapi penyertaan Fatin ke sukan tersebut seharusnya membuka mata banyak pihak tentang potensi acara tersebut menyumbang sesuatu buat negara.
Dia yang kini berusia 22 tahun masih bergiat aktif dalam dunia papan luncur, namun terpaksa berehat sebentar selepas menerima pembedahan lutut gara-gara kecederaan dialaminya.
Pandangan Fatin turut diakui seorang lagi peminat sukan terbabit, Nurdiyana Athirah Kamarul Ariffin yang berpendapat generasi kini cukup meminati aktiviti lasak, sekali gus dapat menaikkan lagi reputasinya.
"Pada saya, sukan ini masih boleh berkembang dalam negara disebabkan ramai anak muda yang semakin minat dengan sukan lasak, lebih-lebih lagi dalam skateboard dan mereka juga kerap menyertai pertandingan dianjurkan.
Diyana percaya sukan papan luncur mempunyai potensi untuk terus berkembang.
Meskipun tidak pernah dipilih mewakili negara, bekas pelajar di Politeknik Merlimau, Melaka itu cukup dikenali dalam kalangan penggiat aktiviti papan luncur kerana sering meluangkan masa lapang mempamerkan kebolehannya.
Tambah Diyana yang berusia 24 tahun, pihak berkepentingan boleh memainkan peranan tersendiri untuk menyemarakkan lagi sukan lasak itu secara meluas di seluruh negara.
"Saya rasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau jabatan berkaitan perlu memberi lebih banyak sokongan dari segi fasiliti, kempen dan juga boleh jadikan sukan lasak sebahagian daripada kurikulum persekolahan.
"Salah satu cara terbaik juga adalah dengan menganjurkan kelas sukan papan luncur, sama ada secara percuma atau berbayar dan mereka yang berminat boleh mendapatkan tunjuk ajar secara dekat," katanya.
Malik mengatakan keberanian merupakan kunci utama untuk menceburi bidang papan luncur.
Bagi penggiat seorang lagi peminat tegar sukan tersebut, Abdul Malik Nasir, kehadiran generasi muda berpotensi menaikkan lagi tarikan orang ramai terhadap aktiviti terbabit.
"Ramai sangat yang sertai sukan papan luncur sepanjang saya melibatkan diri. Memang sangat ramai, lagi-lagi generasi baharu ni semua padu-padu," katanya.
Anak kelahiran Sabah itu yang kemudiannya berpindah ke Selangor itu pernah menyertai beberapa pertandingan kecil-kecilan dalam negara selain pernah diberikan tajaan syarikat papan luncur, seperti Nomad Skateboards.
Dia yang mula menceburi aktiviti tersebut sejak 2021 menegaskan sesiapa sahaja boleh melibatkan diri dengan syarat dapat memberikan sepenuh usaha dan tenaga.
"Untuk golongan pemula, ia sebenarnya bergantung kepada minat juga. Tetapi, apa yang penting, anda perlu memberikan komitmen sepenuhnya dan berani!" katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram