Aksi HM cetus impak Liga M, kelab domestik perlu segera 'level up' pemain setaraf Asia


  • Podium
  • Rabu, 31 Jan 2024

Skuad Harimau Malaya mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang beraksi di kempen Piala Asia 2023. — FAM

AKSI skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 merupakan medan terbaik pasukan kebangsaan dalam mengenal pasti ruang kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

Meskipun perjuangan negara terhenti di peringkat Kumpulan E, namun aksi memukau dipamerkan dalam perlawanan terakhir ketika menentang Korea Selatan wajar dipuji selepas berjaya mengikat gergasi Asia itu dengan keputusan seri 3-3.

Bercakap soal kepincangan serta kekurangan skuad Kim Pan-gon dalam edisi kali ini, pemain negara jelas mengalami beberapa kesukaran untuk menandingi pasukan negara Asia lain yang dilihat sudah satu langkah ke hadapan berbanding Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Terciduk di tangan Harimau Malaya, bintang Spurs dalam poket double D

photo_2024-01-30_16-02-05

Kim Pan-gon (kiri) berjaya membawa pasukan negara beraksi di peringkat Piala Asia 2023. — FAM

Ia berbalik kepada jurang serta kualiti pemain-pemain negara yang sebahagiannya masih jauh tersasar dalam kelompok terbaik Asia ketika ini.

Justeru, kepulangan skuad Harimau Malaya dari kejohanan Asia baru-baru ini diibaratkan sebagai panggilan kecemasan buat pasukan di Liga Malaysia (Liga M) untuk memiliki pandangan yang lebih jauh sekiranya ingin menyaingi kelab dari peringkat lebih tinggi.

Perubahan taktikal serta penambahbaikan kualiti latihan merupakan antara perkara yang perlu diterapkan dalam setiap pasukan untuk terus menyumbang bakti kepada skuad kebangsaan kelak.

Berikut merupakan empat perubahan serta ciri tambahan yang perlu diperbaiki dalam setiap kelab di Liga M:

1. Perubahan taktikal dan posisi pemain

Taktikal ataupun formasi sesebuah pasukan perlu sentiasa diperbaharui bagi mengelakkan ia mudah dibaca pihak lawan.

Kim Pan-gon yang lebih gemar menggunakan formasi 3-4-3 di Piala Asia baru-baru ini nyata telah mencetuskan perubahan dalam rentak serangan negara.

BACA LAGI: 'Tewas tapi kita perlu berbangga dengan pencapaian Harimau Malaya sampai tahap ini'

photo_2024-01-30_16-01-21

Arif Aiman antara tonggak utama pasukan kebangsaan di Piala Asia 2023. — FAM

Percaturan Pan-gon untuk tidak menetapkan gandingan Faisal Halim dan Arif Aiman dalam setiap perlawanan juga antara kelainan dibawakan yang dilihat mampu membentuk pilihan lebih bervariasi di bahagian serangan.

Malah, keberanian jurulatih kelahiran Korea itu meletakkan muka baharu Romel Morales selaku peledak utama juga membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Korea Selatan.

2. Hantaran pendek

Corak permainan di peringkat Asia lebih mengutamakan kepantasan serta hantaran pendek yang kerap membolosi jaring lawan.

Justeru, skil individu pemain perlu dipertingkatkan lagi menerusi latihan bola pendek serta hantaran berkonsepkan tiki-taka yang lebih berhasil berbanding hantaran jauh.

Kawalan bola kemas dan tepat adalah kunci utama kepada kejayaan pasukan-pasukan di Asia khususnya Jepun yang sudah menjuarai kejohanan itu sebanyak empat kali sebelum ini.

Hantaran tinggi dan lorongan bola ke hadapan dilihat sukar dipraktikkan di peringkat Asia kerana kelebihan saiz fizikal dan ketangkasan pihak lawan yang mudah untuk membaca hantaran pemain-pemain negara.

Justeru, setiap kelab Liga M seharusnya lebih berani menerapkan skil hantaran pendek ataupun larian licik yang mampu membuka ruang buat jaringan dihasilkan berbanding hanya mengharapkan hantaran jauh semata-mata.

3. Saiz fizikal pemain

Jika dilihat dari segi saiz dan ketinggian pemain negara dan pasukan lain di Asia, boleh dikatakan hampir serupa dengan majoriti antara 1.70 meter hingga 1.80 meter.

Namun, apa yang membezakannya adalah tahap kecergasan serta ketahanan fizikal pemain yang lebih mantap berbanding skuad kebangsaan.

Kecergasan pemain merupakan faktor utama dalam setiap perlawanan khususnya ketika menentang pasukan dengan corak serangan berintensiti tinggi seperti Jordan tempoh hari.

Keupayaan pemain untuk mengekalkan momentum sepanjang 90 minit perlawanan antara kelebihan dimiliki sesebuah pasukan.

4. Sistem pengadilan VAR

Sistem pengadilan secara Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi menaik taraf tahap serta kualiti perlawanan di Liga M dijangka diaktifkan sekitar April.

Malah, sistem pengadilan secara telus juga mampu membendung isu rusuhan serta pergaduhan penonton di stadium yang acap kali bengang dengan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah ketika membuat keputusan.

Di samping membantu menaik taraf liga tempatan negara, ia juga mampu membentuk tahap disiplin serta moral yang tinggi dalam diri pemain untuk lebih bersikap profesional dalam setiap perlawanan.

BACA LAGI: Ramai akan cecah usia 40-an, 3 bintang boleh 'salin kulit' Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2027

2234946905

Piala Asia 2023, Qatar menggunakan sistem pengadilan secara VAR dalam setiap perlawanan. — Agensi

Untuk rekod, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah merancang melengkapkan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan sistem VAR bagi menjadikan gelanggang keramat Harimau Malaya itu berkelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd. Faidz Sanusi menerusi laporan media berkata, penggunaan VAR disifatkan sesuai dengan standard dimiliki Stadium Nasional Bukit Jalil selaku stadium utama di Malaysia dan sering menjadi pilihan Harimau Malaya.

Jelasnya, pihaknya juga bersedia mengadakan perbincangan dengan ahli lembaga pengarah PSM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berhubung kos penggunaan VAR yang dikatakan menelan harga lebih setengah juta ringgit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram