
PENAMBAHAN kuota seorang pemain import di atas padang bagi musim 2024/25 Liga Malaysia (Liga M) menimbulkan pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membenarkan enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia) +1 (ASEAN) beraksi di atas padang berbanding lima pemain pada musim lalu dan seorang pemain import di bangku simpanan dilihat akan menggugat prestasi beberapa pasukan serta pemain tempatan yang akan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kelak.
Lebih parah apabila peluang beberapa pasukan Liga M untuk mencabar kejuaraan musim depan dilihat kian tertutup ekoran krisis kekangan wang dihadapi yang sekali gus membataskan perbelanjaan kelab untuk membawa masuk pemain import berkualiti.
Lambakan import khususnya dari kelab ternama seperti Johor Darul Takzim (JDT) pastinya akan terus mencabar pasukan-pasukan lain terutamanya yang berada di kedudukan tercorot liga.
Tiga kelab dengan krisis kewangan pada musim lalu dijangka berdepan situasi getir susulan penambahan kuota import dari MFL.
1. Kelantan FC
Masa depan Kelantan FC kemungkinan akan terus terkubur dalam saingan Liga M apabila pasukan terbabit tidak dibenarkan untuk beraksi di Liga M3.
Ia susulan isu tunggakan gaji yang terpalit dalam pengurusan Kelantan selepas kelab itu didakwa culas dalam membuat pembayaran terhadap pemain-pemainnya.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Liga Amatur Malaysia (AFL) Syed Yazid Syed Omar, keputusan itu dibuat bagi mengelak Liga M3 dicemari dengan masalah tunggakan gaji sekali gus menyebabkan pemain menerima tempiasnya.
Situasi itu secara tidak langsung meninggalkan titik noktah pada perjalanan skuad The Red Warriors (TRW) yang 'bagai jatuh ditimpa tangga' pada musim depan.
2. Kedah FC
Kemelut tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pasukan Kedah FC masih gagal menemui jalan penyelesaian.
Isu tersebut yang dijangka dapat diselesaikan pada 31 Januari lalu walau bagaimanapun masih belum terjawab selepas beberapa pemain menurut laporan media, mendakwa masih belum menerima sebarang pembayaran sehingga hari ini.
BACA LAGI: Tak nafi Kedah ada tunggakan gaji 5 bulan tapi... — Khamal Idris
Jika perkara itu berlanjutan, Kedah dijangka berdepan hukuman keras daripada pihak MFL sama ada dikenakan sekatan perpindahan, potongan mata atau lebih teruk dihumban keluar daripada Liga Super.
Nasib Kedah kini bergantung kepada keputusan bahagian pelesenan MFL yang sedang memperhalus situasi mereka dan satu kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
3. Melaka United FC
Melaka United yang disebut-sebut kembali ke Liga Super menggantikan Kelantan, juga menghadapi krisis kewangan apabila kelab berkenaan dikhabarkan berdepan tunggakan gaji pemain berjumlah RM2.3 juta.
Untuk rekod, Melaka United bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain dan isu itu memuncak pada penghujung saingan Liga Super musim lalu.
Malah, MFL dilaporkan turut menolak rayuan kelab terbabit untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat ditetapkan.
Ditambah pula dengan penetapan terbaharu kuota import bagi saingan musim depan, sekali gus menutup peluang Melaka untuk terus berdaya saing dalam kancah bola sepak tanah air sekiranya isu gaji masih gagal diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram