Pemain import kagum dengan 'talent' Malaysia, letak JDT 'benchmark' untuk kemajuan Liga M


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Akademi JDT antara yang terbaik di Malaysia ketika ini. — Facebook/JDT

PASUKAN skuad kebangsaan terpaksa akur apabila terkeluar awal daripada saingan Piala Asia selepas tewas dua perlawanan menentang Jordan dan Bahrain.

Walaupun Harimau Malaya membariskan ramai bintang-bintang 'senior', skuad kendalian Kim Pan-gon gagal menjaringkan sebarang gol berbanding pasukan Indonesia yang hadir dengan rata-ratanya pemain muda.

Pasukan Indonesia berjaya menjaringkan satu gol menentang pasukan-pasukan kuat seperti Iraq, Vietnam dan Jepun yang berada dalam Kumpulan D.

Malah Indonesia yang hadir dengan pemain-pemain muda bakal lakar kejutan pertama kali layak ke pentas Asia sebagai pasukan ketiga terbaik jika Oman tidak mencatatkan sebarang keputusan positif.

BACA LAGI: Sumbangan besar di JDT, Leonardo Velazquez bakal senasib Forestieri?

Menyentuh soal pembangunan akar umbi, pemain import Kuala Lumpur City, Sebastian Avanzini berkata, Malaysia mempunyai banyak pemain muda berbakat.

Bakal ada bintang baharu jika ramai orang mahu melabur ke arah akar umbi untuk menghasilkan pemain yang berkualiti tinggi.

"Sejujurnya, Malaysia mempunyai ramai bakat-bakat baharu dan saya fikir itulah adalah perbezaan besar apabila saya melihat bola sepak Malaysia dengan Eropah.

"Tetapi apa yang bagus untuk Malaysia, mereka mempunyai banyak potensi jika ramai bersedia untuk melabur di peringkat akar umbi.

"Ini supaya Malaysia dapat memberikan pendidikan yang betul lebih awal dan seperti apa yang kita boleh lihat di Jepun dan Korea Selatan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Ke sana, ke sini', pinjaman JDT rupanya kena reject kekal dengan Tok Gajah

Tambahnya lagi, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi penanda aras untuk mencungkil bakat baharu di Malaysia dengan harapan banyak pasukan boleh mengikuti jejak langkah Harimau Selatan.

"JDT adalah pasukan 'benchmark' ketika ini, tidak adil bagi saya untuk katakan tidak ada pasukan boleh menjadi seperti mereka.

"Mereka mempunyai pengurusan yang sangat serius dan bercita-cita tinggi untuk menghasilkan pemain-pemain tempatan berkualiti untuk Malaysia.

JDT Main

JDT kini giat membangunkan pemain-pemain akar umbi. Facebook/JDT

"Manakala untuk Selangor dan Terengganu sudah semestinya mempunyai potensi untuk berkembang lebih besar.

"Tapi saya harap perkara ini bukan melibatkan kelab besar sahaja, tetapi pasukan kecil juga agar boleh mengikuti untuk tidak hanya melabur kepada skuad utama tetapi akademi juga.

"Jurulatih adalah paling penting selain daripada fasiliti untuk akademi kerana mereka memainkan peranan mendidik pemain.

"Selain itu, rumput juga memainkan peranan besar apabila anda sudah melihat skuad kebangsaan beraksi rumput berbeza di luar negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram