'Tahniah, mommy bangga dengan pencapaian abang', ibu Zayn Rayyan titip rasa sebak pada majlis graduasi


  • Massa
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Tangkap layar dimuat naik di laman Instagram Ismanira Abdul Manaf di hari majlis graduasi anaknya, Zayn Rayyan. — Instagram/Izzmanaf

SELANG beberapa bulan selepas pemergian kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin yang disahkan meninggal pada Disember lalu, ibunya, Ismanira Abdul Manaf memuat naik hantaran sebak di laman Instagram peribadinya pada Jumaat.

Mengimbau semula kenangan ketika di hari graduasi Allahyarham, Ismanira berkongsi rasa bangga atas pencapaian anaknya menerusi beberapa gambar dan video dimuat naik.

'Tahniah, selamat bergraduasi Zayn Rayyan, mommy bangga dengan setiap pencapaian Abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian Abang, mommy tetap bangga.

"Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam, ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga.

"Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni saja,” tulisnya.

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

msg-468649021-49068

Trofi serta hadiah diterima pada majlis graduasi sekolah Zayn Rayyan. — Instagram/Izzmanaf

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Rumah tak berpenghuni Blok R jadi tumpuan siasatan

Suntingan gambar yang dimuat naik seolah-olah mereka bergambar bersama pada majlis graduasi itu telah mengundang kesedihan pengikutnya yang rata-ratanya mengucapkan takziah atas pemergian insan tersayang itu.

Sementara itu, Ismanira di Instastory berkata, dia dapat membayangkan betapa gembiranya jika melihat banyak hadiah diterima dalam majlis itu.

“Kalau abang ada ni, memang abang dah tepuk tepuk tangan sambil lompat-lompat sebab gembira dapat hadiah banyak macam ini,” ujarnya.

Untuk rekod, kanak-kanak autisme Zayn Rayyan disahkan dibunuh selepas penemuan mayatnya di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 6 Disember lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan siasatan kes ini sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik namun, masih belum ada kata putus berhubung suspek kes pembunuhan kejam itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram