
SEORANG pemandu bas muncul wira apabila berjaya menyelamatkan kesemua 22 penumpangnya daripada rentung dalam insiden kebakaran yang berlaku berhampiran Plaza Tol Sungai Besi Lebuhraya Utara-Selatan, Serdang, Selangor pada Jumaat.
Difahamkan, individu berkenaan pantas mengarahkan penumpangnya keluar dari bas terbabit sebaik menyedari percikan api yang berlaku ketika kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 1.48 tengah hari.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang bersama sebuah jentera kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa 22 penumpang serta seorang pemandu ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak saudara saintis terkemuka India maut nahas bas di Melaka
BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk Taiping panik bas usang dipandu warga emas musnah dijilat di tengah jalan
Ujarnya, kejadian terbabit bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kepada semua mangsa yang terlibat.
"Anggota bomba bertugas kemudiannya bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman.
"Pemeriksaan awal mendapati, bas berkenaan terbakar 90 peratus selain bahagian bumbung hentian rehat sebelah Serdang di lokasi kebakaran turut mengalami sedikit kerosakan," katanya.
Menurutnya, punca dan anggaran kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram