
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini berjaya menghasilkan tiga jenis bawang merah tempatan sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Katanya, demi memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Jabatan Pertanian Malaysia pada 24 Januari lalu telah memulakan penanaman Bawang Merah MARDI BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak.
Penyelidikan yang dijalankan telah menghasilkan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.
"Saya telah mengarahkan MARDI untuk memberikan tumpuan yang lebih serta memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah MARDI BAW-1 ini.
"Data-data yang diperoleh nanti dapat membantu kementerian merangka pelan penanaman bawang merah tempatan ini secara besar-besaran," katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Tambahnya, krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.
Sementara itu, beliau dalam posting berasingan turut menyatakan empat iltizam kerajaan dalam merealisasikan penanaman bawang berskala besar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, pihak Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) sedang rancak memulakan penanaman itu di dua buah kawasan berasingan iaitu dekat daerah Batang Padang, Perak dan Serdang, Selangor.
"Saya mahu DOA terus mencari lokasi-lokasi lain yang bersesuaian untuk menambah keluasan penanaman Bawang Merah MARDI ini bagi penghasilan berskala besar," katanya.
Empat fokus utama KPKM dalam mengurangkan kebergantungan kepada bawang import dalam tempoh lima tahun akan datang. — Facebook/Mohamad Sabu
BACA LAGI: Poster Mat Sabu beli beras boleh gemuk hanya fitnah, sah palsu
Sebelum ini, Mohamad Sabu ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 berkata, kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini.
Dalam memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Mohamad berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram