Kelab Malaysia 'level up', 7 pemain import muda bakal beri kejutan di Liga Super musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Pemain import muda kini berminat untuk beraksi di dalam Liga Malaysia.

UMUM mengetahui pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini sedang rancak memborong pemain-pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Kedah Darul Aman (KDA FC), Sabah FC dan Penang FC antara kelab yang banyak memborong pemain-pemain baharu sama ada tempatan mahupun import.

Perubahan format Liga Super musim ini berjaya menarik perhatian beberapa pemain import muda untuk beraksi di Malaysia.

Sebelum ini Liga Malaysia boleh dikatakan lubuk pemain import yang sudah berusia atau import kitar semula untuk menghabiskan sisa karier bola sepak mereka.

Namun peningkatan kualiti skuad kebangsaan serta saingan liga domestik ternyata mempunyai tarikan tersendiri apabila tujuh pemain import muda baharu bakal beraksi di dalam Liga Super musim ini.

Ini antara tujuh pemain bakal beraksi di dalam saingan Liga Super musim ini:

Ryu Yamaguchi mempunyai darah Malaysia didaftarkan sebagai pemain ‘import’ oleh Penang FC. Facebook/Penang FC

1. Ryu Yamaguchi, 22 tahun (Penang FC)

Pemain berdarah kacukan Malaysia, Ryu Yamaguchi bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim ini apabila skuad Harimau Kumbang mengumumkan individu ini sebagai pemain ‘import’ baharu.

Yamaguchi sebenarnya mempunyai darah Malaysia walaupun dilahirkan di Jepun.

Pemain yang berusia 22 tahun ini mempunyai ketinggian 186cm dan beraksi di posisi pertahanan, malah dia mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak 2021.

Ryu pernah bersama akademi Penang Wanderes pada 2015-16 sebelum berkelana ke England dan Sepanyol untuk bersama Brooke House College Football Academy Harborough, England dan CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.

Glassock memiliki ciri kepimpinan tinggi, pemain ini sudah bersedia membuktikan kredibilitinya di Liga Malaysia. Facebook/Sri Pahang FC

2. Michael Glassock, 23 tahun (Sri Pahang)

Sri Pahang FC berjaya mendapatkan khidmat pemain pertahanan dari Australia, Michael Glassock untuk memperkuat barisan pertahanan.

Pemain berusia 23 tahun dengan ketinggian 1.91 meter ini merupakan nadi pertahanan Sydney Olympic dalam saingan National Premier League sepanjang musim lalu.

Glassock memiliki ciri kepimpinan tinggi, pemain ini sudah bersedia membuktikan kredibilitinya di Liga Malaysia.

Matko diumumkan sebagai pemain import pertahanan baharu KL City pada Khamis. Facebook/KL City

3. Matko Zirdum, 24 tahun (KL City)

Bekas pemain Dinamo Zagreb, Matko Zirdum bakal membentuk gandingan bersama Giancarlo Gallifuoco pada musim ini.

Matko diumumkan sebagai pemain import pertahanan baharu KL City pada Khamis.

Berasal daripada Croatia, ketinggian 1.95 meter akan memberikan kekuatan tersendiri pada barisan pertahanan dan serangan KL City.

Arribas pernah mencatatkan rekod peribadi sebagai pemain apabila memecah rekod 100 penampilan bersama pasukan lamanya. Facebook/ JDT

4. Oscar Arribas, 24 tahun (Johor Darul Takzim)

Johor Darul Takzim (JDT) meneruskan usaha mereka bagi memantapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2023 apabila menandatangani pemain kacukan Sepanyol-Filipina, Óscar Arribas.

Baru berusia 24 tahun, Arribas banyak beraksi dalam saingan divisyen kedua liga bola sepak Sepanyol yang mana dia memulakan karier profesional bersama AD Alcorcón.

Musim lalu, Arribas beraksi bersama Cartagena yang mana dia menyertai kelab tersebut pada 1 Julai 2022 namun hanya beraksi selama enam bulan selepas pemain itu menamatkan kontraknya pada 13 Disember.

Arribas pernah mencatatkan rekod peribadi sebagai pemain apabila memecah rekod 100 penampilan bersama pasukan lamanya, Alcorcon FC.

Al-Rawabdeh pernah beraksi dalam saingan Piala AFC untuk dua pasukan iaitu Al-Jazeera dan Al-Muharraq. Facebook/Selangor FC

5. Noor Al-Rawabdeh, 25 tahun (Selangor FC)

Selangor FC kini diperkuatkan dengan seorang pemain import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh.

Sebelum ini Al-Rawabdeh pernah beraksi dalam saingan Piala AFC untuk dua pasukan iaitu Al-Jazeera dan Al-Muharraq.

Semasa bersama Al-Muharraqlah, Al-Rawabdeh yang digelar “The Engineer” membantu mereka menjulang Piala AFC musim 2021.

Al-Rawabdeh akan menambah elemen kreativiti di bahagian tengah skuad Merah Kuning yang diterajui kapten Brendan Gan, Mukhairi Ajmal dan Aliff Haiqal.

Gabriel mampu melakukan hantaran jauh dan dekat yang sangat baik ini akan menjadi tambah nilai buat skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

6. Gabriel Peres, 25 tahun (Sabah FC)

Gabriel Peres dilahirkan pada 5 Mac 1997 dengan ketinggian 1.97 meter dan bermain di posisi pertahanan tengah.

Gabriel mampu melakukan hantaran jauh dan dekat yang sangat baik, sekali gus menjadi tambah nilai buat skuad Sang Badak.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak pernah berhijrah keluar daripada negara kelahirannya, Brazil dan Sabah FC merupakan kelab pertamanya berkelana ke luar negara.

Ivan Mamut sebelum ini beraksi bersama pasukan FCSB di Liga Romania. Facebook/Terengganu FC

7. Ivan Mamut, 25 tahun (Terengganu FC)

Ivan Mamut berasal dari Croatia dan mempunyai ketinggian 1.92 meter dilihat sebagai pilihan utama yang akan digandingkan bersama seorang pemain import Terengganu FC, Adisak Kraisorn iaitu penyerang kebangsaan Thailand.

Pemain yang mempunyai kelebihan ketinggian fizikal ini dilihat sebagai antara pilihan utama untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kpah Sherman.

Ivan Mamut sebelum ini beraksi bersama pasukan FCSB iaitu pasukan di Liga Romania memutuskan untuk berpindah beraksi di Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram