JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sedang rancak berlangsung selepas beberapa kelab sudah mula membawa masuk muka-muka baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.
Kelantan United antara pasukan yang banyak membawa masuk muka-muka baharu tidak kira pemain tempatan mahupun import.
Negeri Sembilan satu-satunya pasukan yang sudah pun mengangkat bendera putih untuk tidak membawa masuk mana-mana pemain meskipun salah seorang import sah meninggalkan pasukan.
Sabah FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pasukan gergasi yang menambah sengat di setiap posisi pasukan untuk bersaing dengan Johor Darul Takzim (JDT).
Namun begitu tidak semua pemain import yang dibawa masuk memberikan impak positif buat pasukan bahkan ada beberapa individu tidak menyumbang banyak kepada pasukan meskipun menyertai awal tahun ini.
Majoriti senaraikan empat import ‘tak function’ setakat separuh musim Liga Super 2023:
Salifu pernah beraksi bersama pasukan Ghana B-23.
1. Rauf Salifu (Selangor FC)
Rauf Salifu merupakan salah seorang import yang dibawa oleh Selangor FC untuk mempertajamkan lagi skuad Gergasi Merah musim ini.
Pemain berusia 21 tahun itu, sebelum ini beraksi di Amerika Syarikat bersama Kansas City II sebelum memilih menyertai Selangor FC.
Salifu jarang mendapat peluang beraksi dalam Liga Super selepas Ayron del Valle beraksi cemerlang di jentera serangan Selangor.
Musim ini, Salifu hanya tampil dalam empat perlawanan Liga Super dan berjaya menjaringkan gol ketika bertemu Kelantan FC.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, penyerang kelahiran Ghana ini hanya merekodkan 101 minit permainan setakat ini.
Lucas masih belum pulih sepenuhnya. — Facebook/Sri Pahang FC
2. Lucas Silva (Sri Pahang FC)
Hadir sebagai penyerang berprolifik bersama Penang FC musim lalu, Lucas Silva masih belum mampu membantu Sri Pahang FC musim ini walaupun baru saja pulih daripada kecederaan.
Lucas sebelum ini mengalami kecederaan semasa latihan pra musim yang memaksa dia berehat panjang semasa pusingan pertama liga.
Penyerang kelahiran Brazil ini banyak tidak tersenarai dalam barisan skuad kerana masih belum pulih sepenuhnya.
Ia sehingga memaksa pihak pengurusan Tok Gajah membawa masuk seorang lagi pemain import, Rafael Silva bagi bergandingan dengan Kpah Sherman.
Penyerang berusia 33 tahun ini hanya sempat tampil dalam tiga perlawanan sebelum kembali tidak tersenarai oleh barisan kejurulatihan Sri Pahang FC.
Ryu gagal tampil dalam mana-mana perlawanan setakat ini. — Facebook/Penang FC
3. Ryu Yamaguchi (Penang FC)
Pemain berdarah kacukan Malaysia, Ryu Yamaguchi beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila Penang FC diumumkan sebagai pemain ‘import’ baharu.
Yamaguchi sebenarnya mempunyai darah Malaysia walaupun dilahirkan di Jepun dan pemain yang berusia 22 tahun ini mempunyai ketinggian 186 cm dan beraksi di posisi pertahanan.
Malah, dia juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak 2021.
Kerjayanya bermula pada 2013 apabila bersama Stoke City Football di Shanghai, China.
Ryu juga pernah bersama akademi Penang Wanderes pada 2015-16 sebelum berkelana ke England dan Sepanyol untuk bersama Brooke House College Football Academy Harborough, England dan CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.
Walaupun mempunyai banyak pengalaman beraksi di Eropah, Ryu dilihat masih gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Kumbang dan tidak pernah tampil dalam mana-mana kejohanan musim ini.
Njoku tidak dapat memberikan sebarang sumbangan prolifik bersama Sabah. — Facebook
4. Jacob Njoku (Sabah FC)
Sabah FC memilih untuk mendapatkan bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku dalam usaha mereka mengurangkan beban yang ditanggung pemain kebangsaan, Darren Lok.
Kehadiran itu pada awalnya cukup menghangatkan penyokong skuad Sang Badak memandangkan pasukan itu bakal beraksi di peringkat Asia buat kali pertama sejak 1995.
Namun, seperti sering dialami pasukan Borneo itu, Njoku tidak dapat memberikan sebarang sumbangan prolifik meskipun pernah bersinar dalam Liga Perdana.
Sepanjang kira-kira empat bulan bersama Sabah FC, pemain berusia 25 tahun terbabit hanya diturunkan dalam dua perlawanan Liga Super.
Selepas dilepaskan kelab Borneo itu, pemain kelahiran Nigeria tersebut tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan meskipun khidmatnya seperti ditagih kelab lamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram