Tak nafi Kedah ada tunggakan gaji 5 bulan tapi... — Khamal Idris


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Kedah musim ini menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat liga. — Facebook/KDAFC

MESKIPUN sudah mendapatkan Lesen Kebangsaan sebagai passport untuk beraksi di saingan Liga Super 2024/2025 namun Kedah Darul Aman (KDA) FC masih didakwa terpalit dengan isu tunggakan gaji melibatkan pemain dan kakitangan kelab.

Menerusi hantaran dari laman penyokong, Perkembangan Bola Sepak Semasa, pemain skuad Sang Kenari didakwa tidak menerima gaji selama lima bulan dan sekali gus memecah rekod Kelantan FC yang sebelum ini mengalami empat bulan tunggakan.

Rentetan isu berlarutan tersebut, laman penyokong berkenaan juga mendakwa ia merupakan faktor utama terdapat beberapa pemain memutuskan untuk berpisah dari kem KDA FC dari saingan musim depan.

"Kelantan FC pun 4 bulan saja, jadi Kedah lagi gilalah kalau 5 bulan gaji tertunggak. Ranking nombor satu sidai gaji pemain. Isu gaji tertunggak Kedah sebenarnya dah dilaporkan media sejak Oktober sambil diakui oleh pengendali, Nafuzi Zain sendiri.

"Namun hingga hari ini pihak pengurusan hanya menabur janji, memberi 1,001 alasan. Dilaporkan sudah ramai pemain angkat kaki cari team lain angkara 'main free', demi lencana di dada, biar jasa jadi kenangan," katanya.

BACA LANJUT: Didakwa 'demand' tinggi dengan TFC, fans Sang Kenari pula risau Kedah tak mampu sara Habib Haroon

DALAM

Tangkap layar dakwaan gaji tertunggak KDA FC.

Tampil menjawab tuduhan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali tidak menafikan dakwaan tunggakan gaji berkenaan namun pihak pengurusan difahamkan sedang menyelesaikan masalah berkenaan.

Khamal Idris bagaimanapun menegaskan bahawa hanya sebahagian kecil sahaja yang terpalit dengan tunggakan gaji selama lima bulan dan ia membabitkan beberapa orang pemain belia pasukan Hijau Kuning.

"Sekarang ini perkara itu tak betul. Ada pasukan belia tapi mereka dua bulan sahaja sebab latihan sampai bulan September. Ada sebahagian kecil (pasukan belia) tunggak lima bulan tapi bukan keseluruhan terutamanya yang tandatangan dua tahun.

"Kebanyakan (skuad) Bawah 18, Bawah 20 sangkut dua bulan. Liga Super tak sampai lima bulan. Liga Super ada yang dah selesai, ada yang dua bulan, dua bulan setengah. Kita akan selesaikan semua ini dalam sebelum 31 Januari ini," jelasnya kepada Majoriti.

Terdahulu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan itu berhadapan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram