PEMERINTAHAN Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasminya tamat pada Selasa.
Istiadat pelepasan bagi pasangan diraja kembali ke negeri asal akan diadakan sebagai tanda terima kasih pihak kerajaan dan rakyat terhadap jasa serta pengorbanan Baginda.
Sambutan istimewa itu dijangka ringkas tetapi penuh dengan tradisi dan adat resam Melayu, melambangkan keunikan institusi diraja di negara ini.
Al-Sultan Abdullah, 64, yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019, dan Tunku Azizah meninggalkan Istana Negara kira-kira pukul 8 pagi diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selaku menteri yang hadir.
Istiadat pelepasan itu melibatkan beberapa lokasi, termasuk Istana Negara, Dataran Parlimen, serta beberapa jalan utama dari ibu negara menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di mana Seri Paduka berdua akan menaiki pesawat pulang ke Pahang.
Dalam pada itu, keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut diiringi laungan azan yang syahdu di Istana Negara pagi Selasa.
Azan yang dilaungkan oleh Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni itu menambahkan lagi sayu dan pilu warga Istana Negara, yang berkesempatan mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sutan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat kali terakhir.
BACA LAGI: 'Buktikan saya rasuah Agong', Tun M sifatkan penuduh sebagai pengecut
BACA LAGI: 'Kita perlu move on,' Agong titah akan segera putuskan lantikan PM ke-10
Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019, bagi menggantikan ayahanda baginda yang ketika itu uzur, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang mangkat pada 22 Mei 2019.
Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama lima tahun mulai Rabu.
Tunku Azizah bertitah, kedua-dua Duli Yang Maha Mulia menantikan lawatan ke setiap daerah di Pahang.
"Kami akan pulang ke negeri asal kami, balik kampung. Saya akan merindui semua orang di Istana Negara. Ini adalah keluarga saya selama lima tahun yang lalu.
“Syukur kepada ALLAH kerana diberi peluang memimpin negara selama lima tahun. Maaf jika ada kekurangan,” tambah Tunku Azizah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram