[VIDEO] Lelaki cop parkir mengamuk, dakwa kereta dilanggar di mall terkemuka KL


  • Tular
  • Selasa, 30 Jan 2024

Tangkap layar seorang lelaki mengamuk akibat perebutan parkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Isnin.

GARA-GARA perebutan parkir, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila menengking dan memarahi wanita yang dikatakan telah merampas ruang kereta di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Isnin.

Situasi itu berlaku selepas dua individu dipercayai isteri dan anak kepada lelaki terbabit bertindak menjaga lot parkir berkenaan yang secara tidak langsung mengundang kemarahan wanita itu.

Perbuatan mencop parkir dilakukan nyata kurang disenangi wanita berkenaan yang kemudiannya terus meletakkan kereta di lot tersebut.

Namun, insiden itu mencetuskan perbalahan apabila lelaki terbabit terus meninggikan suara dan mendakwa keretanya dilanggar wanita berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya dah pusing dari tadi,' netizen puas hati wanita selamba abai pujukan lelaki cop parking di Tasik Titiwangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Konon 2 jam tunggu 'cop' parking di Brinchang, wanita kena bantai pemandu berang akhirnya mengalah

Tampil menjelaskan bahawa perbuatannya sebagai satu kesalahan, lelaki berbaju putih itu enggan meminta maaf sebaliknya terus berpelakuan kasar ketika kejadian.

Untuk makluman, budaya cop parkir adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir merupakan hak milik awam.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam akta tersebut.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam pergaduhan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram