Salahkan Syihan bermaksud anda tak faham bola sepak — Aguero


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Syihan turut menjadi bahan ejekan orang ramai selepas kekalahan negara di tangan Bahrain baru-baru ini. — Facebook/FAM

MESKIPUN sudah hampir seminggu berlangsung, rata-rata penyokong Harimau Malaya masih tidak dapat melupakan kekalahan 0-1 negara kepada Bahrain.

Gaya permainan tidak teratur, keputusan Kim Pan-gon yang mengelirukan serta kerap kehilangan bola merupakan antara isu dalam aksi di Stadium Jassim bin Hamad, Qatar.

Jadi, untuk meluahkan rasa kecewa itu, ramai daripada mereka bertindak membanjiri ruangan media sosial dengan kritikan 'pedas' terhadap pasukan serta segelintir pemain.

Salah seorang yang menjadi tumpuan peminat ialah penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi apabila dia gagal menepis rembatan Ali Madan pada masa kecederaan.

Kelewatannya boleh dikatakan amat merugikan kerana sebahagian besar pengguna media sosial beranggapan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perlu bertindak lebih awal.

Walaupun dia beraksi dengan cemerlang sepanjang 90 minit permainan, kesilapan berkenaan pastinya menjadi bahan bualan orang ramai dengan Harimau Malaya kini sudah tersingkir daripada saingan Piala Asia 2023.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya

420948563_946581703490977_4191346527450729495_n

Aguero tampil menepis kritikan dan cemuhan yang diajukan kepada Syihan Hazmi. Facebook/HotIce23

BACA LAGI: 'Tewas tapi kita perlu berbangga dengan pencapaian Harimau Malaya sampai tahap ini'

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir pihak yang tampil mempertahankan penjaga gol berusia 27 tahun itu apabila dirasakan sumbangannya tidak boleh dipertikaikan.

Turut tampil memberi sokongan moral kepada Syihan ialah kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero yang membidas pandangan mengenai kesilapan penjaga gawang terbabit.

"Dia ada 10 orang pemain di hadapan bola, macam mana nak salahkan Syihan? Itu bermaksud tidak faham apa-apa tentang bola sepak," katanya menerusi satu komen di Instagram.

Sebelum ini, kedua-dua pemain tersebut pernah bersama-sama menyarung jersi skuad kebangsaan ketika saingan Piala AFF 2022 ketika Aguero baru sahaja memperolehi status naturalisasi.

Bagaimanapun, isu kecederaan dialaminya menyaksikan dia tidak dipanggil Pan-gon untuk saingan Piala Asia dengan slotnya diberikan kepada mereka yang lebih layak.

Setakat ini, skuad kebangsaan tidak memperoleh sebarang mata selepas dua perlawanan, tanpa sebarang jaringan serta empat gol sudah dilepaskan.

Mereka berpeluang meraih satu mata sekiranya mampu mengikat pasukan di tangga kedua Kumpulan E, Korea Selatan dalam perlawanan di Stadium al-Janoub, Qatar pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram