[VIDEO] Skuad Ghana dipaksa jalan kaki oleh media sendiri lepas 'bungkus' awal AFCON


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Para pemain Ghana (jersi putih) kecewa apabila gagal mara ke pusingan kalah mati AFCON. — Facebook/AFCON

DALAM bola sepak Afrika, Ghana sering dilihat sebagai salah sebuah gergasi di benua tersebut. Malah, negara tersebut memegang rekod terbaik oleh benua tersebut di Piala Dunia apabila pernah meraih kedudukan keempat pada 2010.

Namun begitu, reputasi mereka sebagai gergasi bola sepak Afrika tidak dapat menghalang kepada kejatuhan Ghana dalam saingan African Cup of Nations (AFCON) kali ini apabila mereka terpaksa pulang awal.

Skuad yang diberi nama jolokan Black Stars itu gagal menepati ramalan untuk mara apabila mereka hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pada aksi terakhir menentang Mozambique, Ghana mengalami mimpi ngeri apabila mereka dinafikan tempat ke pusingan kalah mati menerusi dua gol pada pada masa kecederaan.

Di separuh masa pertama, Ghana bermain dengan baik apabila berjaya mendahului menerusi jaringan Jordan Ayew pada minit ke-15. Kemenangan semakin menghampiri Ghana apabila Ayew sekali lagi menyumbat gol pada minit ke-70.

BACA LAGI: 'Yazan ganti Yazan,' lupakan baka Eropah-Amerika Latin, import Asia lebih sesuai jadi buruan Selangor FC

e06093a0-b972-11ee-896d-39d9bd3cadbb

Gol daripada Jordan Ayew tak cukup untuk bawa Ghana ke pusingan seterusnya. — BBC

Ketika tiga mata begitu hampir menjadi milik mereka, Mozambique bangkit melakukan kebangkitan minit akhir menerusi jaringan Cipriano Catamo dan Isnard Mandava untuk membuatkan Ghana terkeluar daripada AFCON.

Dengan keputusan tersebut, Ghana menduduki tangga ketiga dalam kumpulan B dengan Cape Verde serta Mesir berhasil ke pusingan seterusnya.

Prestasi penuh mengecewakan itu nyata mengundang kemarahan bukan saja penyokong tetapi pihak media Ghana yang berharap pasukan mereka beraksi lebih baik.

Oleh disebabkan itu, sekumpulan pengamal media Ghana yang berada di stadium bertindak telah menghalang laluan bas pasukan yang membawa pemain. Bas tersebut dikatakan hendak membawa pemain keluar terus daripada stadium tanpa perlu melalui mixed zone.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya

Akan tetapi, pihak media menghalang hinggakan timbul kekecohan sehingga pihak keselamatan masuk campur untuk meredakan suasana.

"Kami menantikan mereka, kami tak akan buat apa-apa, kami cuma nak tanya beberapa soalan sahaja.

"Kami tak akan sentuh siapa-siapa, kami cuma bertanyakan soalan sebagai media," kata seseorang yang berada di tempat kejadian dalam video tular di Facebook.

Halangan oleh media Ghana itu berhasil apabila bas terpaksa berhenti dan para pemain perlu turun dan lalu di bahagian mixed zone.

Saat melalui zon tersebut, para pemain dihujani dengan pelbagai soalan panas serta sorakan 'boo' turut diberikan kerana rasa tak puas hati akibat kekalahan yang dialami. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram