Kecewa dengan persembahan sendiri, Natxo Insa mahu 'balas dendam' lawan Korea Selatan


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Natxo (kiri) menerima kritikan daripada penyokong kerana tampil dengan persembahan kurang memuaskan. — Facebook/FAM

TONGGAK tengah negara, Natxo Insa bersedia untuk menebus kesilapan selepas menampilkan persembahan kurang memuaskan dalam perlawanan kedua Kumpulan E Piala Asia menentang Bahrain yang berakhir dengan keputusan 0-1 pada Sabtu.

Pemain warisan tersebut mahu meneruskan perjuangan dengan menunjukkan kemampuan Malaysia dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan di Stadium Jassim Hamad pada Khamis.

Natxo datang pada separuh masa kedua bagi menggantikan Syamer Kutty Abba - yang tampil dengan persembahan mengagumkan pada separuh masa pertama - tampak tidak begitu menyerlah apabila gerak-gerinya serba tidak menjadi untuk menghidupkan bahagian tengah.

Dalam penampilan kedua untuk Malaysia dan juga perlawanan pertamanya di Piala Asia, Natxo hanya memenangi 33 peratus daripada pertarungan pertahanannya, iaitu hanya dua daripada enam percubaan.

Bagi bahagian serangan pula, pemain berusia 27 tahun itu melakukan lebih baik tetapi masih kehilangan penguasaan bola sebanyak dua kali sepanjang 45 minit permainan.

Prestasi di bawah par dalam bahagian penting perlawanan itu menimbulkan kemarahan penyokong kerana ramai merasakan Natxo tidak meninggalkan kesan yang diingini dan gagal membantu pasukan mengukuhkan organisasi taktikal skuad kebangsaan menentang Bahrain.

BACA LAGI: Bakal diturunkan berdepan Bahrain, fans tolak idea pakai Natxo Insa

WhatsApp Image 2024-01-23 at 09.32.32

Natxo ketika diturunkan dalam perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu lepas. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Ramai anggap jeneral tengah Selangor lebih sesuai diberi peluang berbanding Natxo

Sememangnya, Natxo turut kecewa dengan persembahannya dan menjelaskan bahawa dia hanya mempunyai satu sesi latihan penuh bersama Harimau Malaya sebelum perlawanan menentang Bahrain.

“Saya berada di sana untuk hanya satu sesi latihan bersama pasukan, saya cuba membantu dalam apa cara yang saya boleh, tetapi ia tak menjadi seperti dingini.

“Kami sedih dengan keputusan perlawanan kerana kami berjuang sehingga saat akhir. Kami cuba mengambil kesempatan daripada peralihan tetapi mereka lebih menguasai bola. Kami mempunyai tiga hingga empat peluang untuk menjaringkan gol tetapi ia tidak diterjemahkan kepada bentuk jaringan gol.

“Kita kini mesti memberi tumpuan kepada pemulihan dan mengosongkan fikiran kita. Kami mempunyai satu lagi perlawanan, kami mesti profesional dan teruskan,” katanya.

Bagi pemain yang beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) itu, tekanan untuk beraksi menentang Korea Selatan mungkin boleh memberi kesan kepada Malaysia.

“Kami mempunyai tekanan di belakang kami dalam perlawanan terakhir kumpulan ini dan kami mahu melakukan perkara dengan betul.

"Kami mahu rakyat Malaysia berbangga dengan kami," katanya.

Malaysia sudah terlepas untuk bersaing dalam pusingan 16 terakhir tetapi ia akan menjadi satu kebanggaan apabila mereka menentang gergasi Asia seterusnya. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram