[VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Paulo Rangel antara calon naturalisasi sebelum De Paula dan Liridon.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak malu untuk mengakui kegagalan projek dalam pemilihan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi sebagai pemain naturalisasi.

Selepas menghentikan program naturalisasi, badan induk itu tidak mempunyai hak untuk menyekat mana-mana kelab melakukan perkara sama selagi ia menepati peraturan ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baru-baru ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu temubual Bola itu Life menjelaskan program naturalisasi ketika era bola sepak moden sudah pun selari dan ia turut diamalkan oleh negara luar termasuk kuasa besar bola sepak dunia lain.

"Saya nyatakan bola sepak Malaysia sudah ketinggalan jauh, jadi kita nak percepatkan. Semasa saya naik sebagai presiden, salah satu manifesto adalah perkenalkan naturalisasi, masa itu yang tinggal di Malaysia (lepasi syarat lima tahun) adalah Liridon dan De Paula.

"Itu saya sifatkan memang betul gagal. Saya hanya mencuba sebab dalam peraturan FIFA membenarkan, Sepanyol, Perancis, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan China pun buat.

"Apabila Liridon dan De Paula gagal atas beberapa sebab, saya tahu mengenai kecaman dan saya terima pendapat orang. Di pihak FAM sudah tutup, tetapi di peringkat kelab saya tidak boleh tahan sebab mereka ada hak,” katanya.

Tetapi adakah anda tahu, sebelum Liridon dan De Paula beberapa pemain import pernah tercalon untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Majoriti senaraikan tiga pemain import yang pernah dicalonkan untuk dinaturalisasikan tetapi tidak dapat direalisasikan:

BACA LAGI: Ramai akan cecah usia 40-an, 3 bintang boleh 'salin kulit' Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2027

1. Paulo Rangel

Bekas pemain Selangor FC, Paulo Rangle pernah menjadi antara salah seorang calon bintang import untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Ketika beraksi dalam Liga Malaysia, Rangel antara import penyerang berbisa apabila merangkul anugerah penjaring terbanyak bersama Selangor pada 2014.

Rangel beraksi selama empat musim dalam Liga Malaysia bersama tiga buah pasukan berbeza iaitu Perak, Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain berusia 38 tahun itu juga pernah mewakili pasukan pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan menentang kelab England, Tottenham Hotspurs pada 2015.

Rangel kini masih lagi aktif bermain di liga divisyen bawahan Brazil dengan mewakili Canaa Futebol Clube serta menjadi rebutan beberapa kelab di sana.

2. Thiago Junior Aquino

Bekas pertahanan import Perak FC, Thiago Junior Aquino antara pemain yang sudah melengkapkan lima tahun dalam Liga Malaysia apabila mula beraksi di negara ini sejak 2017 sehingga 2019.

Pemain berusia 39 tahun itu hanya mewakili dua kelab dalam Liga Malaysia iaitu Perak FC dan Felda United sebelum memilih untuk bersara pada 2020.

Thiago antara pertahanan import yang mempunyai kualiti tersendiri dalam mengekang asakan penyerang lawan dengan ketinggian 1.87 meter (m) menjadi asetnya.

Sama seperti Rangel, Thiago juga tersenarai dalam kesebelasan utama pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan menentang kelab England, Tottenham Hotspurs pada 2015.

BACA LAGI: Ranking negara dijangka jatuh mendadak, Indonesia berpeluang pintas Harimau Malaya

IPOH 21 February 2015. Pemain import Perak, Charles Souza Chad terjatuh selepas diterjah pemain Lions XII pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Perak, Ipoh. NSTP/Muhaizan Yahya.

Chad pernah mewakili Perak FC pada musim 2015.

3. Charles Chad Souza

Mula mencipta nama bersama PDRM FC, Charles Chad Souza berjaya menarik perhatian Perak FC untuk merekrutnya pada 2015.

Dalam sembilan penampilan bersama Perak, Chad menjaringkan sembilan jaringan sekali gus berjaya menarik perhatian Datuk Dollah Salleh untuk membariskannya dalam perlawanan pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan menentang kelab England, Tottenham Hotspurs pada 2015.

Kali terakhir Chad beraksi dalam Liga Malaysia ialah dengan mewakili Perlis FA pada 2016 dan sempat menjaringkan tujuh gol dalam lima penampilan.

Chad yang kini berusia 42 tahun sudah pun bersara daripada arena bola sepak selepas pulang ke negara kelahirannya Brazil pada 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram