APAKAH kebencian sudah mula timbul dalam kalangan penyokong Harimau Malaya? Diakui yang waktu sekarang, kita sedang diuji dengan dugaan hebat apabila pasukan kesayangan tidak beraksi cemerlang di Piala Asia 2023.
Waktu itu, timbul segala perasaan. Marah, kecewa, sedih, semuanya ada. Tetapi adakah kita sudah mula membenci Harimau Malaya? Atau pun sudah mula membenci pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon?
Itulah mungkin mesej yang cuba disampaikan oleh pemain naturalisasi kebangsaan iaitu Liridon Krasniqi. Sejak mengalami dua kekalahan perit di tangan Jordan dan Bahrain, pemain tersebut mendapati banyak suara-suara sumbang mula kedengaran ditujukan kepada Harimau Malaya.
"Saya cuma nampak kebencian, di manakah kasih sayang?," soal Liridon di laman Facebook miliknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya
Tangkap layar Facebook Liridon yang mempersoalkan penyokong Harimau Malaya. — Facebook/Liridon Krasniqi
Liridon jelas mempersoalkan perkara berkenaan Harimau Malaya apabila dia turut meletakkan emoji hati berwarna kuning dan hitam yang sinonim dan sering dipakai oleh pasukan tersebut.
Pada hemat Liridon, mungkin dia hanya nampak penyokong Harimau Malaya kini majoritinya telah mula mengecam dan hanya menyampaikan kata-kata nista kepada pasukan.
Tidak seperti sebelum Piala Asia, rasa yakin serta optimis begitu menebal dalam kalangan penyokong dengan mereka berasakan Malaysia mampu melakar kejutan untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Pertanyaan yang dilontarkan Liridon itu mungkin kerana pemain tersebut mahu penyokong-penyokong Harimau Malaya bertenang untuk seketika dan kembali teguh di belakang pasukan.
Arif Aiman turut kecewa ketika Malaysia kalah kepada Bahrain. — Facebook/FAM
Dia jelas tidak mahu ada angin buruk masih menyelubungi kita semua dek kerana dua kekalahan yang lalu. Ia sudah berakhir, jadi masa untuk fokus kepada Korea Selatan pula.
Bekas pemain Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu juga tidak mahu penyokong berlebih-lebihan dalam mengkritik pemain kerana takut akan meruntuhkan motivasi mereka yang mungkin sudah sedia jatuh akibat dua kekalahan lalu.
Tidak salah untuk mengkritik, tetapi janganlah gasak sampai terduduk. Begitu juga apabila memuji, jangan dilambung sehingga terlalu tinggi hingga sukar didakap semula.
Masa untuk bangkit semula, Harimau Malaya. Mari kita buktikan! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram