[VIDEO] Lepas fans Korea curi tumpuan, giliran DJ terkenal pula sarung jersi JDT


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Penyokong Korea Selatan (paling kanan) dilihat menyarung jersi JDT ketika menonton aksi Piala Asia 2023 di Qatar.

PERJALANAN Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar terhenti selepas tewas 0-1 ketika berdepan Bahrain pada Sabtu.

Jaringan minit-minit akhir Ali Madan di Stadium Jassim Bin Hamad, Qatar itu bukan sahaja membantu Bahrain meraih tiga mata namun sekali gus memastikan pasukan kendalian Juan Antonio Pizzi mara ke pusingan kalah mati.

Berikutan kekalahan tersebut, skuad kebangsaan nampaknya tidak berpeluang untuk merebut slot ke pusingan kalah mati.

Malah, keputusan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon membawa masuk pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa pada separuh masa kedua permainan menerima kritikan dan kecaman yang hebat daripada ekor Harimau Malaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Korea jaring penalti tapi jersi JDT curi perhatian dunia

BACA LAGI: JDT buat U-turn, rekrut semula Forestieri dan pakej 3 import baharu

Susulan kritikan terhadap Natxo tersebut, kelab JDT turut terpalit dengan kecaman daripada penyokong tanah air berikutan kegagalan beberapa pemain seperti Arif Aiman Hanapi dan Matthew Davies dalam memastikan Malaysia meraih kemenangan.

Meskipun dikecam teruk,namun peminat Harimau Selatan berbangga selepas jersi JDT menjadi pilihan dua individu yang bukanlah penyokong Malaysia.

Baru-baru ini, penyokong Harimau Selatan tersenyum lebar selepas DJ terkenal kelahiran United Kingdom (UK), James Hype memilih untuk menyarung jersi kebanggaan JDT (home jersey) musim 2020 dalam satu konsert iaitu Out of The World 2.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong Harimau Selatan berbangga apabila jersi JDT itu berjaya mencuri tumpuan.

"Nice jersi Bro! JDT mendonia," kata Shahrin Omar.

"Padu, jersi JDT juga menjadi pilihan DJ James Hype, sangat bangga apabila memakai jersi pasukan yang berkualiti di Malaysia," kata Mohd Firdauz Busari.

"Dia memakai jersi pasukan yang terbaik di Asia, terbaik DJ James," kata Nazri Shaiful.

Sebelum ini, jersi JDT turut mencuri tumpuan selepas salah seorang penyokong Korea Selatan dilihat turut menyarung jersi tersebut ketika menyokong pasukannya berdepan Jordan dalam aksi kedua Kumpulan E.

Situasi tersebut berlaku selepas Korea Selatan berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan penalti oleh Son Heung-min. Ketika kamera sedang fokus ke arah penyokong, kelihatan seorang penyokong Korea Selatan sedang menyarung jersi JDT.

Jersi yang disarung penyokong tersebut adalah jersi kedua (away jersey) JDT yang berwarna putih. Secara tak langsung, ia telah membuatkan pasukan dari Liga Super 'mendonia' di peringkat tertinggi bola sepak Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram