[VIDEO] Bukan kali pertama, pertembungan HM-Korea Selatan pernah memalukan bintang EPL


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Heung-min (jersi merah) ketika menentang Harimau Muda dalam saingan kumpulan Sukan Asia 2018. — Agensi

WALAUPUN harapan untuk ke pusingan 16 Piala Asia 2023 sudah punah, namun Malaysia tetap perlu meneruskan perjuangan menentang Korea Selatan sebagai pelengkap jadual Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Qatar pada Khamis ini.

Manakala Korea Selatan pula dilihat terdesak untuk mendapatkan tiga mata penuh susulan keputusan seri mengejut 2-2 yang diraih ketika menentang Jordan pada Sabtu lepas.

Sebelum dua perlawanan awal menentang Jordan dan Bahrain tidak memihak kepada Malaysia, ramai menyimpan hasrat agar skuad pimpinan Kim Pan-gon dapat mengulang kemenangan menentang Korea Selatan kira-kira enam tahun lalu.

Mengimbau semula kenangan manis pada kejohanan Sukan Asia 2018, skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mengejutkan pasukan Taeguk Warriors apabila mengalahkan mereka dengan keputusan 2-1.

Ketika itu, penyerang sayap negara, Safawi Rasid muncul wira skuad B-23 tahun negara apabila menjadi penjaring tunggal Malaysia dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang diadakan Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.

BACA LAGI: Piala Asia: 'Kita pernah tewaskan Son Heung-min', fans HM teruja sama grup Korea Selatan

BACA LAGI: Kecewa dengan persembahan sendiri, Natxo Insa mahu 'balas dendam' lawan Korea Selatan

Kemenangan Malaysia ini sudah pasti tidak akan dilupakan penyokong-penyokong bola sepak negara selepas Harimau Muda mencipta kejutan menewaskan juara bertahan itu.

Ketika itu Korea Selatan dibarisi dengan pemain-pemain bintang seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan dan Kim Min-jae yang kini mencipta nama di pentas Eropah.

Heung-min yang diberi pelepasan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur ketika itu berasa sungguh malu dengan kekalahan pasukannya kepada Malaysia sambil meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi rakan sepasukannya.

“Saya berasa malu dengan kekalahan mengejut ini. Pemain kami terlalu ambil mudah terhadap lawan. Selepas pemain Malaysia menjaringkan dua gol, beberapa rakan sepasukan kelihatan bingung dan kekeringan idea,” katanya memetik laporan Washington Post pada enam tahun lepas.

Antara pemain Harimau Malaya yang berada dalam skuad itu dan kini berada di Qatar adalah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari, Dominic Tan dan Faisal Halim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram