Lupakan Kedah dan Penang, Syafiq Ahmad patut ke Perak demi kelangsungan kerjaya


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Syafiq dijangka berada dalam senarai pemain yang akan digugurkan JDT nanti. — Facebook/JDT

MASA depan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Takzim (JDT) masih belum diketahui terutamanya selepas juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan sehingga 40 peratus.

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan menamatkan perkhidmatan enam pemain berpengalaman iaitu Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Sebastian Velazquez dan Diogo Luis Santo.

Dalam keenam-enam mereka, hanya Aidil Zafuan 'naik pangkat' dengan menyertai barisan kejurulatihan skuad utama Harimau Selatan.

Selepas ini, lebih banyak pemain juga difahamkan akan dilepaskan dan salah seorang tonggak Harimau Selatan yang dikaitkan akan mencari kelab baharu ialah Syafiq Ahmad dengan pelbagai khabar angin mengaitkan penyerang berkenaan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dikhabarkan berebut penyerang Harimau Selatan berkenaan menjelang musim 2024/2025 yang dijangka akan bermula April ini.

WhatsApp Image 2024-01-11 at 23.13.11

Syafiq hanya tampil dalam 10 perlawanan bersama JDT pada musim 2023. — Facebook/JDT

Namun, sehingga kini ia masih berstatus khabar angin dengan kedua-dua pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu dalam persaingan untuk memenangi hati pemain berusia 28 tahun itu bagi memperkuatkan jentera serangan mereka pada musim depan.

Bagaimanapun, jika kedua-dua pasukan berkenaan tidak membuat tindakan seterusnya, pasukan yang masih mencari penyerang bermutu seperti Perak FC berpeluang untuk 'mencaras' Syafiq.

Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin ingin membawa masuk pemain import baharu untuk memperkasakan jentera serangan namun kehadiran Syafiq ke Perak boleh menjadi penyerang kedua untuk The Bos Gaurus (TBG).

Oleh itu, terdapat tiga keistimewaan yang mampu diberikan Perak untuk membawa masuk Syafiq bagi musim baharu ini;

BACA LAGI: Kedah kena sailang 'last minute'? Penang mahu sambar Syafiq Ahmad bersama 2 ex import

1) Peluang beraksi lebih kerap

WhatsApp Image 2024-01-11 at 23.13.12

Syafiq sebelum ini pernah beraksi untuk Kedah secara pinjaman. — Facebook/KDAFC

Sejak dua musim kebelakangan ini, minit permainan sentiasa menjadi masalah utama yang menjadi faktor terbesar kepada penurunan prestasi pemain kelahiran Bayan Lepas berkenaan.

Buktinya, Syafiq hanya membuat 10 penampilan dalam kesemua perlawanan yang disertai Harimau Selatan dengan menyumbang sebanyak tiga jaringan gol dalam kejohanan Piala Malaysia dan Piala FA pada musim ini.

Minit permainan yang tidak memuaskan hati itu menjadi pendorong buat Syafiq untuk mencari destinasi baharu yang menawarkan kepuasan bermain dan berkemungkinan menjadi titik perubahan dalam kerjaya bola sepaknya.

Tidak dinafikan Kedah dan Penang turut menawarkan minit permainan buatnya namun Perak yang masih tidak mempunyai penyerang tulen lebih memerlukan banyak khidmat Syafiq untuk mengetuai bahagian serangan.

Perak yang sebelum ini banyak mengharapkan kepada penyerang sayap Korea Selatan, Seo Seon-ung memerlukan watak penyerang yang lebih mempunyai kemampuan deria jaringan tajam untuk membantu skuad TBG mendapatkan tiga mata bagi setiap perlawanan.

BACA LAGI: Bekas ‘teammate’ Kedah harap Syafiq Ahmad buru pasukan baharu untuk kembali menyinar

2) Kebajikan terjaga

WhatsApp Image 2024-01-11 at 23.13.09

Sepanjang XOX mengambil alih, Perak tidak lagi mengalami masalah gaji. — Facebook/PerakFC

Sejak syarikat XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd mengambil Perak FC pada musim 2022, skuad TBG sudah tidak lagi bergelut dengan masalah gaji seperti musim-musim sebelumnya sehingga menyaksikan ramai pemain mereka berhijrah ke pasukan lain.

Hal tersebut menyaksikan pasukan itu dapat bersaing secara perlahan-lahan dan hasilnya skuad kendalian Yusri Che Lah berhasil mengalahkan pasukan gergasi seperti Sabah FC dan Kedah di saingan Piala Malaysia pada musim ini.

Kestabilan pasukan akan membolehkan Syafiq menikmati masa permainan dengan lebih selesa tanpa perlu memikirkan masalah lain di luar padang yang sering memberi kesan kepada prestasi individu pemain.

Sementara di KDA FC pula, dilaporkan berdepan masalah pengurusan sehingga mendesak pihak pengurusan kelab membuat pendedahan menerusi satu sidang media pertengahan tahun lalu.

Seperti laporan Majoriti baru-baru ini, Kedah mengalami masalah tunggakan gaji selama lima bulan dan sedang diselesaikan oleh pihak pengurusan Sang Kenari dengan mereka mempunyai tempoh masa untuk mencari titik noktah bagi mengatasinya.

BACA LAGI: Selain intai import musim depan, keeper JDT, KL City FC ada potensi ke Perak FC

3) Pencabar baharu Liga Super

WhatsApp Image 2024-01-11 at 23.13.15

Yusri diberi kepercayaan untuk mengemudi Perak FC lagi pada musim ini. — Facebook/PerakFC

Walaupun kelab berpangkalan di Utara tanah air itu menutup musim 2023 dengan menghuni kedudukan kesembilan liga apabila merekodkan enam kemenangan, empat seri dan 13 kekalahan selepas mengharungi 23 aksi, namun ia masih memberi senyuman kepada penyokong.

Meskipun dibarisi pemain muda namun Yusri berhasil mengubah nasib Perak FC daripada sekadar memenuhi jadual liga sehinggalah menjadi sebuah kelab yang sedang meningkat baik dan mungkin akan kembali menjadi pasukan disegani suatu hari nanti.

Bayangkan jika pihak pengurusan memberi lampu hijau kepada pengendali berusia 47 tahun itu untuk mencari pemain mengikut kesesuaian cara permainannya, skuad Seladang pasti akan menjadi salah satu pasukan digeruni pada musim depan.

Melihat kepada keadaan semasa, Syafiq mungkin boleh menjadi calon untuk dipertimbangkan oleh Yusri untuk memperkuatkan bahagian serangan dan menjadi model kepada pemain muda mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram