SELAIN aksi sengit ketika perlawanan Derbi Utara ketika saingan liga, Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC juga dikhabarkan berebut pemain sama menjelang musim 2024/2025 yang dijangka akan bermula April ini.
Skuad Harimau Kumbang menerusi ciapan dari pemerhati sukan, Fina Nasrom memaklumkan bahawa pasukan bimbingan Akmal Rizal itu difahamkan berhasrat untuk mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad bagi memperkuatkan jentera serangan mereka pada musim depan.
Kenyataan membabitkan Syafiq itu membuat penyokong Sang Kenari terdiam seribu bahasa apabila sebelum ini pihak pengurusan Kedah juga difahamkan ingin membawa masuk semula penyerang kebangsaan berkenaan pada musim baharu ini.
Khabar angin pemain berusia 28 tahun itu ke Darul Aman sememangnya disokong ramai memandangkan kepulangannya musim lalu membuahkan hasil meskipun Syafiq hanya menyertai skuad Sang Kenari untuk separuh musim 2023 sahaja.
BACA LAGI: Bekas ‘teammate’ Kedah harap Syafiq Ahmad buru pasukan baharu untuk kembali menyinar
Skuad Sang Kenari dilaporkan bersedia untuk menerima kehadiran Syafiq. — Facebook/KDAFC
Namun, jika Harimau Kumbang berhasil 'menyondol' pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu, ia sememangnya akan menjadi sesalan buat Kedah dah pastinya pihak pengurusan serta kejurulatihan perlu mencari calon pengganti Syafiq di bahagian serangan.
Selain Syafiq, Penang juga dikatakan akan membawa masuk dua bekas import iaitu Casagrande dan Ousmane Fane, selain penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan juga menjadi dalam senarai pemain impian Harimau Kumbang bagi musim baharu ini.
"Casagrande dan Ousmane Fane khabarnya bakal kembali ke Penang FC musin 2024/2025. Selain Sikh Izhan Nazrel dan Syafiq Ahmad turut berada dalam radar Penang FC @AstroArena," tulis Fina di platform X miliknya pada Rabu.
Selepas penghijrahan ke kelab Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC tidak berhasil, Fane nampaknya membuat pusingan U untuk kembali ke Penang dan membantu bahagian tengah pertahanan kelab Utara tanah air itu.
Sementara itu, Casagrande pula dikenali dengan kemampuan deria jaringan yang cukup tajam pada 2021 dengan 12 gol dijaringkan dalam 19 penampilan bagi saingan Liga Super.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 32 tahun itu juga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana 2018 dengan 18 gol dan merekodkan 21 gol daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan sekali gus dinobatkan Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram