Arif Aiman semakin mendunia, dapat pujian media Argentina


  • Podium
  • Khamis, 11 Jan 2024

Nama Arif Aiman terus mencuri tumpuan media antarabangsa. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap lincah, Arif Aiman Hanapi sememangnya antara watak penting dalam pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dengan kehadirannya kerap kali menghasilkan hantaran berbahaya buat pasukan lawan.

Ia sekali gus membuktikan betapa JDT kini mempunyai seorang pemain muda berkualiti yang mampu menyinar jika terus diberikan pendedahan dan peluang dalam karier bola sepaknya.

Terbaharu, Arif Aiman terus mencuri tumpuan apabila salah seorang wartawan Argentina, Nauhel Lazon dilihat mengagumi aksi persembahan yang sering ditampilkan oleh pemain muda Harimau Malaya itu.

BACA LAGI: Safee Sali puji Arif Aiman, yakin cetak gol buat Harimau Malaya

AA42

Arif Aiman Hanapi dijangka mencetak jaringan dalam saingan Piala Asia nanti. — Facebook/FAM

Menerusi satu perkongsian di laman X, Lazon dilihat amat mengagumi Arif Aiman.

“Sebelum bercakap tentang pemain naturalisasi, saya akan menyebutkan tentang pemain terbaik Malaysia iaitu Arif Aiman.”

“Dia baru sahaja berusia 21 tahun. Arif merupakan seorang penggelecek, berani dan mempunyai naluri yang unik di bahagian sayap kanan. Musim ini dia menjaringkan 18 gol dalam 33 perlawanan,” ciapnya.

Sebelum ini, penyerang muda tanah air itu pernah mencuri tumpuan apabila dia disenaraikan sebaris pemain bintang di pentas Liga Juara-Juara (ACL).

Perkara itu dikongsikan menerusi laman rasmi ACL yang meletakkan pemain lincah itu sebagai antara 11 pemain terbaik atau 'kesebelasan pilihan' bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab Asia itu.

Untuk rekod, Arif Aiman juga merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2021 dan 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram