PEMAIN Kelantan United FC, Syazwan Zainon berpendapat yang penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad perlu beraksi bersama-sama pasukan baharu pada musim depan.
Hal ini kerana, Syazwan berpendapat Syafiq dapat menghidupkan semula kariernya jika beraksi bersama pasukan selain JDT baik sebagai pemain pinjaman atau melakukan perpindahan tetap.
Syazwan yang pernah beraksi bersama-sama Syafiq di Kedah Darul Aman FC satu masa dulu percaya yang minit permainan mencukupi mampu untuk membawa pemain tersebut kembali menjadi penyerang handalan negara.
"Tidak kira sama ada kembali semula ke Kedah atau kelab lain, Syafiq harus move on pada musim depan dan tinggalkan JDT.
"Pada saya, kalau dia balik ke Kedah atau mana-mana pasukan, bagi saya ia adalah bagus kerana dia akan dapat minit permainan.
"Kalau ke Kedah ni, ia merupakan pasukan yang dia pernah wakili, mungkin dia akan lebih selesa (di sana)," kata Syazwan kepada Majoriti.
Syazwan merupakan rakan sepasukan Syafiq di Kedah. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Dalam masa yang sama, Syazwan berpendapat keperluan Syafiq untuk beraksi kerap pada musim depan adalah berkaitan dengan peluangnya untuk beraksi bersama-sama Harimau Malaya.
Kuncinya menurut Syazwan adalah untuk sentiasa menghasilkan persembahan terbaik agar jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan tertarik dengan persembahan Syafiq.
"Bagi saya, kalau dia pergi ke mana-mana sekali pun, kalau untuk panggilan Harimau Malaya ni dia mesti kena perform. Jadi, Kim Pan-gon akan menilai dari persembahan semasanya.
"Jadi, kalau dia kekal di JDT tetapi tidak bermain dengan baik, dia tetap tidak akan dipanggil untuk sertai Harimau Malaya. Jadi, apa yang saya lihat, dia cuma perlu beraksi baik untuk dapat bermain dengan Harimau Malaya," ujar Syazwan.
Syazwan dan Syafiq beraksi bersama-sama di Kedah sebelum penyerang itu berpindah ke JDT pada akhir 2017.
Mereka sempat kembali bersatu untuk seketika pada 2021 apabila Syafiq kembali ke Stadium Darul Aman, Alor Setar sebagai pemain pinjaman sebelum Syazwan menyertai Kelantan United musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram