Import terbaru Kedah dari Brazil bakal sarung jersi keramat Baddrol Bakhtiar?


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Pemain itu dikatakan akan menyarung jersi keramat nombor 7 milik pemain Baddrol Bakhtiar yang tiada pemiliknya selama dua musim berturut-turut.

KEDAH Darul Aman FC (KDAFC) nampaknya semakin ligat mengambil pemain import baharu dalam usaha membina pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Langkah itu diambil selepas skuad Hijau Kuning itu dilihat bertindak tidak memperbaharui kontrak lima pemain import iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Dechmitr, Dechi Marcel Nguessan dan Marc Vales.

Untuk musim 2023, KDAFC membelanjakan sejumlah wang yang besar dengan mengambil Manuel Hidalgo, Willian Lira Sousa, Bojan Ciger, Manuel Ott dan Amirbek Juraboev.

Berbaki tiga lagi kuota untuk pengambilan pemain import, skuad kendalian Nafuzi Zain dikatakan akan membawa masuk seorang pemain Samba.

Nama penyerang dari Brazil, Junior Brandao kini menjadi sebutan dalam kalangan penyokong Sang Kenari.

Video promo yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Facebook Sang Kenari — Facebook KDAFC

Ini susulan video promo yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Facebook Kedah Darul Aman FC.

"In transit and on the way...," tulisnya.

Dalam kapsyen video berkenaan, ayat #newblood7 turut tertera lagi menguatkan desas desus kemasukkan Brandao.

Lebih mengujakan, pemain itu dikatakan akan menyarung jersi keramat nombor 7 milik pemain Baddrol Bakhtiar yang tiada pemiliknya selama dua musim berturut-turut.

Sebelum ini desas-desus pemain Brazil, Pedro Paula dikatakan akan mengikat kontrak bersama skuad Sang Kenari namun dia sebaliknya memilih sebuah kelab yang berpangkalan di Vietnam, CLB Duoc Nam Ha Nam Dịnh.

photo_6239870565603193368_y

Junior Brandao kini menjadi sebutan dalam kalangan penyokong Sang Kenari. — Instagram/Junior

Jika benar Brandao akan dibawa masuk ke Darul Aman, perpindahan tersebut pastinya menjadi nilai tambah buat skuad Nafuzi.

Ini kerana ketinggian pemain berusia 28 tahun itu yang mencapai 1.87 meter boleh mendatangkan masalah buat pertahanan pasukan lawan selain memiliki kaki kanan yang kuat untuk merembat bola.

Pada masa sama, pemain ini mempunyai kelebihan untuk menambah sengat di bahagian serangan Kedah di samping mengurangkan beban yang perlu ditanggung dua penyerang import Willian Lira dan Ebenezer Assifuah.

Pemain ini juga boleh bermain di posisi sayap kanan dan kiri sekali gus memberi kelebihan pada pasukan dan boleh menggantikan pemain lain sekiranya diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram