PERTEMUAN pemilik skuad Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang menerima menghadap pemilik Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar di Ibu Pejabat JDT, Johor pada Khamis sekali lagi mencetus pelbagai spekulasi dan kali ini berkaitan status Syafiq Ahmad.
Malahan, pertemuan itu turut mengundang seribu tanda tanya dalam kalangan penyokong kedua-dua kelab tersebut.
Manakan tidak, ia juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah KDAFC, Khamal Idris Ali.
Daripada pertemuan tersebut ada yang mengaitkan sesi itu berkaitan rundingan perpindahan Syafiq Ahmad ke skuad Sang Kenari.
Daud Bakar memuat naik gambar beliau bersama Syafiq, hari sama TMJ memuat naik InstaStory berhubung kehilangan nama penyerang tersebut. — Facebook
Walaupun hanya khabar angin, Tunku Ismail pernah memuat naik nama-nama pemain Harimau Selatan dengan posisi masing-masing di Instagram Story miliknya pada awal Januari, namun pemain berusia 27 tahun itu tidak tersenarai dalam formasi berkenaan.
Spekulasi itu menjadi semakin kuat apabila Daud Bakar memuat naik gambar beliau bersama bekas penyerang Sang Kenari itu pada hari yang sama.
Untuk rekod, Syafiq dipinjamkan kepada KDA FC dari Johor Darul Takzim (JDT) bagi membantu skuad Sang Kenari menempuh musim lalu namun kembali semula ke JDT. Pada masa sama, penyerang berbisa ini juga pernah bermain bersama skuad Sang Kenari pada musim 2015.
Perkongsian Tunku Ismail di Instagram Story baru-baru ini yang menimbulkan spekulasi di kalangan penyokong JDT dan Kedah.
Sekiranya benar Syafiq pulang ke pasukan Hijau Kuning, ia pastinya menggembirakan penyokong tegar pasukan itu.
Ini kerana, Syafiq merupakan seorang pemain berpotensi dan sesuai untuk kembali bersama KDA FC.
Sepanjang sembilan perlawanan beraksi bersama Kedah, pemain ini telah menyumbang dua gol dan empat assist.
Sehubungan itu, penyokong Kedah amat mengharapkan kepulangan Syafiq pada musim 2023 sekali gus menguatkan jentera Kedah di bawah kepimpinan ketua jurulatih baharu Nafuzi Zain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram