‘Bismillah… Work in progress’, signal berbeza duo bintang HM, sinonimnya JDT dulu dan sekarang


  • Podium
  • Ahad, 22 Jan 2023

Signal berbeza duo bintang HM bersama JDT.

MISI berbeza, tapi arah tuju perjalanan kerjaya yang sama. Mungkin itulah ungkapan sesuai digambarkan kedua-dua pemain Harimau Malaya (HM), Syihan Hazmi dan Safawi Rasid ketika ini.

Kedua-duanya kini dilihat ingin terus fokus mengembangkan karier masing-masing. Manakan tidak, dua figura ini melangkah ke kelab baharu untuk menimba pengalaman lebih luas dalam arena bola sepak.

Syihan sebelum ini menamatkan teka-teki apabila sah menyertai juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia musim depan. Perkara tersebut diumumkan JDT menerusi satu video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers pada 13 Januari lalu.

Manakala, pemain sayap kanan, Safawi pula menambah pengalaman untuk bermain bersama kelab terkemuka di Thailand, Ratchaburi FC, selepas saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Bagi Syihan pula, penjaga gol kebangsaan itu sedang menjalani latihan di JDT dan akan dibawa bersama ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk menjalani program pramusim di sana.

Manakala Safawi sudah melakukan debut bersama Ratchaburi pada Sabtu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan menentang Khon Kaen United, iaitu bekas pasukan Liridon Krasniqi.

325874699_1797293300657561_5767452265860043608_n

Safawi cemerlang melakukan debut bersama Ratchaburi pada Sabtu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan menentang Khon Kaen United. — Facebook

Pemain berusia 25 tahun itu menghadirkan impak selepas menjaringkan gol namun hanya dibatalkan sistem video bantuan pengadil (VAR) kerana bola berada pada kedudukan offside.

Dalam perkembangan terbaharu, Safawi tetap positif apabila berkongsi gambar dengan isterinya, Syifa Melvin sambil menunjukkan isyarat thumbs up.

Selain Syifa, kapten pasukan HM itu turut memuat naik semula gambar yang dikongsi oleh penyokong setianya.

Dalam kapsyen gambar tersebut, Safawi didoakan untuk terus maju jaya bersama kelab Thailand tersebut.

"Bismillah, all the best awings," tulis penyokong itu.

Kedua-dua gambar tersebut dimuat naik pada Sabtu sebelum memulakan perlawanan bersama kelab baharunya itu.

Manakala, Syihan juga turut memuat naik gambar menunjukkan isyarat yang sama di Instagram miliknya pada Ahad.

"Work in progress," tulisnya.

306334121_10163395828839572_2640361813442212758_n

Kehebatan Syihan ketika menggalas tanggungjawab di peringkat antarabangsa turut menerima pujian demi pujian daripada penyokong bola sepak tanah air. — Facebook

Menerusi kapsyen Syihan itu, dia seolah-olah memberi bayangan untuk menyambar posisi nombor satu penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Jika dilihat kepada prestasi Syihan dan Safawi, mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri ketika berada di atas padang.

Kelebihan Safawi terarah kepada larian deras ketika menyerang serta mempunyai ketajaman yang tidak perlu dipertikaikan lagi di depan gol.

Selain itu, Safawi merupakan pakar sepakan percuma apabila sering kali mendatangkan ancaman setiap kali melakukan rembatan ke gawang lawan.

Mengenai Syihan pula, dia mempunyai rekod tujuh perlawanan tanpa dibolosi dalam 22 aksi Liga Super musim lalu dan ia cukup untuk menaikkan nama pemain tersebut sebagai prospek terhangat dalam kalangan pasukan gergasi Liga Malaysia.

Pada masa sama, kehebatan Syihan ketika menggalas tanggungjawab di peringkat antarabangsa turut menerima pujian demi pujian daripada penyokong bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram