Andai Goulon tinggalkan NSFC, 4 nama besar layak jadi tanker kebal di Paroi


  • Podium
  • Rabu, 18 Jan 2023

Khabar angin mengatakan pihak pengurusan tidak berhasrat untuk menyambung kontrak Goulon walaupun merupakan antara watak penting buat pasukan pada 2022. — Facebook/NSFC

SELEPAS menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga keempat, Negeri Sembilan FC (NSFC) sedang giat melakukan rombakan terhadap skuad bagi mempersiapkan pasukan untuk musim akan datang.

Ia termasuk keputusan beberapa tonggak pasukan yang meninggalkan skuad Jang, termasuk Khuzaimi Piee yang berhijrah ke Selangor FC sementara Syihan Hazmi memilih untuk ke Johor Darul Takzim (JDT).

Oleh itu, untuk menggantikan kehilangan tersebut, pihak pengurusan memilih untuk membawa masuk wajah-wajah baharu untuk mengekalkan kualiti skuad bagi 2023.

Baru-baru ini, Negeri Sembilan FC mengumumkan kehadiran bekas Akademi Bolasepak Yayasan Negeri Sembilan, Farid Nezal selepas khidmatnya tidak lagi ditagih Perak FC.

Tetapi, di sebalik pengumuman berkenaan, penyokong seakan-akan terkejut apabila pemain berusia 25 tahun itu dilihat mengenakan jersi bernombor 4.

Hal itu adalah kerana nombor tersebut digunakan pemain import, Herold Goulon yang beraksi dengan cukup cemerlang dalam mengekalkan benteng pertahanan skuad Jang terus kukuh.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan pihak pengurusan tidak berhasrat untuk menyambung kontraknya walaupun merupakan antara watak penting buat pasukan pada 2022.

Melihat kepada perkara itu, Negeri Sembilan FC pasti bercita-cita untuk mendapatkan seorang pengganti yang bersesuaian dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada Februari.

Berdasarkan situasi musim lepas, terdapat empat nama yang sesuai untuk dibawa masuk sekiranya Goulon benar-benar tidak lagi bersama skuad Jang Hobin musim depan:

Kontrak Diakite bersama Terengganu FC tidak akan disambung untuk musim 2023. — Facebook/Terengganu FC

Kontrak Diakite bersama Terengganu FC tidak akan disambung untuk musim 2023. — Facebook/Terengganu FC

1. Pape Diakite (Terengganu FC)

Bekas tonggak skuad Sang Penyu, Pape Diakite boleh dikatakan seorang bintang import yang mempunyai prestasi cemerlang sepanjang musim lalu, bagaimanapun kontrak pemain kelahiran Senegal itu tidak berada dalam perancangan Terengganu FC (TFC) pada musim 2023.

Sehubungan itu, Diakite boleh dikatakan calon yang sesuai untuk menggantikan Herold Goulon.

Ini adalah kerana, pemain berusia 30 tahun cukup dikenali sebagai 'tanker' TFC apabila sering menjadi tonggak kesebelasan utama dalam 29 rekod perlawanan sepanjang aksi liga Malaysia 2022.

Berdasarkan laman web transfermarkt, Diakite yang kini berstatus tanpa kelab dilihat menjadi antara pemain yang wajar dibawa masuk.

Pada masa sama, Diakite mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak apabila berkelana banyak kelab termasuk di Senegal, Slovakia, Belgium, Amerika Syarikat, Kanada dan Vietnam.

Secara keseluruhannya, Diakite beraksi dalam 176 perlawanan dengan menyumbang tiga gol sepanjang kariernya.

Selain bermain sebagai bek, dia juga boleh beraksi di bahagian kanan bek dan pertahanan tengah.

1839221

Afro cukup dikenali sebagai antara prospek pertahanan terbaik yang dimiliki Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

2. Shahrul Nazeem Zulpakar (Selangor FC)

Ubi muda Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar ataupun lebih dikenali sebagai Afro dalam kalangan peminat muncul dalam 18 perlawanan Liga Super sekali gus membuktikan bahawa barisan kejurulatihan meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya.

Malah prestasinya yang cemerlang bersama skuad Harimau Malaya pada Piala AFF 2022 membuktikan pemain muda ini mampu membawa perubahan kepada benteng pertahanan skuad Hobin Jang Hobin.

Pada masa sama, pemain berketinggian 172 sentimeter ini cukup dikenali sebagai antara prospek pertahanan terbaik yang dimiliki Gergasi Merah ketika ini.

Malah, anak jati kelahiran Selangor ini turut menyumbangkan satu gol ketika peringkat separuh akhir berdepan TFC pada musim lalu.

1647541 (1)

MARC Vales ketika beraksi bersama pasukan KDA FC sebelum ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

3. Marc Vales (Kedah FC)

Bekas pertahanan import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales menjadi antara calon sesuai untuk menggantikan Goulon kerana pengalamannya beraksi di luar negara.

Sebelum menyertai skuad Sang Kenari, pemain berusia 32 tahun itu menjadi tonggak kepada beberapa pasukan seperti kelab Norway, Sandefjord Fotball; pasukan dari Finland, SJK Seinäjoki dan skuad CE L'Hospitalet di Sepanyol.

Dengan pengalamannya yang beraksi dengan kelab Eropah itu pasti akan dapat membantu skuad di bawah bimbingan K.Devan itu untuk mara ke peringkat AFC pada musim ini meskipun tampak serba tidak menjadi ketika bersama Kedah.

Musim lepas, skuad Jang Hobin gagal untuk melayakkan diri ke pentas Piala AFC selepas hanya menduduki tempat keempat Liga Super.

1598391 (1)

Jackson menjadi taruhan utama pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee di bahagian pertahanan dengan mengandingkan beliau bersama Dominic Tan pada musim lalu. — Facebook/SabahFC

4. Jackson de Souza (Sabah FC)

Status bintang import kelahiran Brazil, Jackson de Souza bersama Sabah FC masih sama-samar berikutan pasukan berpangkalan di Borneo itu masih belum mengumumkannya sama ada dia berada dalam perancangan skuad Sang Badak ataupun tidak.

Jika benar Sabah FC tidak berhasrat untuk mengekalkan khidmatnya, skuad Jang Hobin boleh mencuba untuk membawanya masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Goulon.

Ketika berada di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, Jackson jarang mendapat peluang untuk diturunkan selepas bergelut dengan isu kecederaan di samping perlu bersaing dengan nama-nama besar.

Tetapi, ia tidak menghalang pemain itu untuk membuktikan kebolehannya setiap kali diturunkan dengan dia dilabel sebagai seorang pertahanan yang lasak dalam membendung serangan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram